PETALING JAYA: Sistem perbankan Malaysia kekal mempunyai tahap permodalan yang kukuh dan penampan mudah tunai yang teguh walaupun Amerika Syarikat dilanda krisis keruntuhan beberapa perbankan termasuk Silicon Valley Bank (SVB).
Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, sistem perbankan Malaysia tidak mempunyai dedahan langsung kepada bank-bank yang baru ditutup di AS manakala sebarang dedahan tidak langsung contohnya daripada rakan niaga atau peminjam yang mempunyai hubungan dengan bank AS adalah sangat terhad.
“Semua bank berlesen di Malaysia, sama ada milik domestik atau asing, besar atau kecil, perlu mematuhi peraturan modal dan mudah tunai yang ketat secara berterusan.
“Peraturan ini dirangka untuk memastikan bank-bank dapat menghadapi keadaan tekanan,” menurut kenyataan bank pusat itu.
Selain itu, BNM berkata, ujian tekanan yang dijalankan pihaknya dan bank-bank secara berkala telah mengesahkan bahawa bank-bank boleh menghadapi kejutan makroekonomi dan kewangan yang serius di samping kekal berada pada kedudukan yang baik untuk menyokong pinjaman kepada perniagaan dan isi rumah jika berlaku pelbagai kejadian buruk.
“BNM akan terus memantau sistem kewangan domestik dengan teliti bagi memastikan fungsinya teratur,” katanya.
Gelombang kejutan daripada kejatuhan SVB hujung minggu lalu menggegarkan saham-saham bank global selepas jaminan daripada Presiden AS, Joe Biden dan penggubal dasar lain tidak banyak membantu menenangkan pasaran.
Bursa Malaysia juga terkesan apabila jatuh di bawah paras 1,400 buat kali pertama dalam lima bulan kepada 1,393.83 di penutupan dagangan Selasa lalu sebelum meningkat sedikit pada penutupan Rabu pada 1,405.42.
Bagaimanapun, pasaran tempatan sekali lagi mengalami kejatuhan semalam apabila ditutup pada 1,391.60, jatuh 12.33 mata seiring dengan prestasi pasaran serantau yang lemah berikutan aktiviti penjualan semula dalam sektor perbankan global.
Selepas kejatuhan SVB dan Signature Bank, krisis di Credit Suisse Group AG menjadi tumpuan utama berikutan Saudi National Bank tidak akan menyediakan bantuan kewangan untuk membantu bank itu.
Sementara itu, Ketua Ekonomi, Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, kemungkinan institusi perbankan tempatan mengalami nasib yang sama seperti yang berlaku di AS adalah rendah.
Ujarnya, dari segi kecairan, Nisbah Liputan Kecairan (LCR) melebihi kadar minimum 100 peratus yang mana angka terkini adalah 147 peratus setakat Januari 2023.
“Begitu juga dengan Nisbah Kecukupan Modal (TCR) berada pada paras 18.9 peratus setakat Januari, melebihi paras minimum 8.0 peratus peratus.
“Justeru, pihak bank masih lagi berkeupayaan untuk memberi pembiayaan kepada isi rumah dan para peniaga. Pihak BNM juga sentiasa memantau dengan terperinci mengenai kekukuhan situasi kewangan institusi perbankan,” ujarnya. – UTUSAN










