SINGAPURA: Singapura meningkatkan rizab emasnya kira-kira 30 peratus pada Januari, menyertai bank pusat dari China ke Turkiye dalam mengukuhkan simpanan ke atas logam berharga itu.
Menurut jurucakap Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS), pihaknya telah meningkatkan rizab emas kepada 6.4 juta auns atau 199 tan pada akhir Januari lalu, daripada 4.9 juta auns bulan sebelumnya.
“Nilai jongkong emas itu kira-kira AS$4.5 bilion (RM20.34 bilion),” katanya menjawab soalan Bloomberg yang dihantar melalui e-mel.
Penganalisis di BullionStar Singapura, Ronan Manly dalam catatan blognya berkata, ia merupakan belian emas kedua terbesar Singapura dalam tempoh sebulan.
“Belian terbesar adalah pada 1968 apabila Singapura membeli 100 tan emas dari Afrika Selatan,” katanya.
Menurut Bloomberg, bank-bank pusat di seluruh dunia telah `membina pegangan’ jongkong emas kerana kekuatan dolar Amerika Syarikat telah merosot dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Sementara pembeli runcit juga telah menyokong pembelian sebagai perisai daripada ketidaktentuan geopolitik dan inflasi yang berleluasa, katanya.
China dilaporkan telah meningkatkan rizab emasnya untuk bulan keempat berturut-turut pada Februari, manakala Turkiye merupakan pembeli terbesar logam berharga itu dalam kalangan bank-bank pusat tahun lepas.
Dalam pada itu, harga emas spot berubah sedikit kepada AS$1,831.34 seaun setakat 9.54 pagi Jumaat di Singapura, peningkatan kira-kira satu peratus selepas laporan kadar pengangguran AS lebih tinggi daripada jangkaan penganalisis.
Laporan itu meningkatkan lagi jangkaan Rizab Persekutuan (Fed) AS akan mengambil pendekatan kurang hawkish (untuk menaikkan kadar faedah dalam julat yang lebih besar). – AGENSI










