PETALING JAYA: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 disasarkan mencapai potensi jualan sebanyak RM1.5 bilion dengan penyertaan perdagangan antarabangsa daripada kira-kira 70 negara.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perdagangan, Perindustrian dan Industri Kecil dan Sederhana Selangor, Datuk Teng Chang Khim berkata, antara sektor yang dijangka menjadi penyumbang kepada jualan tersebut makanan dan minuman (F&B), perbuatan dan taman perindustrian.
Katanya, SIBS 2023 yang bertemakan ‘Selangor, Gerbang ke ASEAN’ akan menampilkan 1,050 reruai (booth) pameran.
Menurutnya, sidang kemuncak itu akan merangkumi keseluruhan lapan dewan ekspo dan dua dewan persidangan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan dijangka menarik sekurang-kurangnya 50,000 pelawat perdagangan.
“Tahun lalu, kami mempunyai 380 pembeli dari dalam dan luar negara. Tahun menyasarkan dalam meningkat jumlah pembeli kepada 500.
“Pembeli ini adalah terdiri daripada perniagaan ke perniagaan (B2B). Ini bermakna mereka yang datang ke sidang kemuncak ini adalah mereka yang pengeluar, pengedar dan pasaraya yang membeli barangan dalam kuantiti yang besar,” katanya pada sidang akhbar dan majlis berbuka puasa di sini.
Sementara itu, Chang Khim berkata, terdapat beberapa peserta sebelum ini yang telah menyatakan minat untuk sidang kemuncak tersebut dan kebanyakan peserta antarabangsa adalah daripada negara-negara Asia.
“Bagi tahun ini, kami sasarkan untuk mendapatkan 30 peratus penyertaan antarabangsa. Saya yakin, ia bukanlah satu sasaran yang terlalu tinggi untuk kami capai,” ujarnya.
Tambah beliau, sidang kemuncak empat hari ini yang akan diadakan pada 19 hingga 22 Oktober 2023 dan akan menampilkan enam acara serentak yang terdiri daripada Ekspo Antarabangsa Selangor (F&B), Ekspo Antarabangsa Selangor (Perubatan) dan , Ekspo Taman Perindustrian Selangor (SPARK 2023).
Turut diadakan adalah Persidangan Perniagaan ASEAN Selangor (SABC 2023), Konvensyen Bandar Pintar Selangor & Ekonomi Digital (SDEC 2023) dan Ekspo R&D dan Inovasi Selangor (SRIE 2023). – UTUSAN










