PETALING JAYA: Sarawak Consolidated Industries Berhad (SCIB) mengumumkan bahawa anak syarikat milik penuhnya, SCIB Industrialized Building System Sdn. Bhd. (SCIBIBS), telah dianugerahkan subkontrak bernilai RM16.8 juta bagi pembinaan sebuah sekolah di Kota Samarahan, Sarawak.
Syarikat itu dalam kenyataan berkata, subkontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) itu diperoleh daripada Majestika Sdn. Bhd. (Majestika) yang merupakan kontraktor utama projek pembinaan Sekolah Kebangsaan Tambay.
Katanya, projek berkenaan bagi tempoh 14 bulan.
Menurut Pengarah Urusan Kumpulan SCIB, Rosland Othman, projek itu dibuat selepas syarikat dianugerahkan projek membina semula sebuah sekolah di Serian, Sarawak yang telah diumumkan sebelum ini, bernilai RM20.65 juta.
“Kekuatan dan tumpuan kami pada projek infrastruktur luar bandar bersaiz kecil hingga sederhana telah membolehkan kami membina portfolio yang kukuh yang boleh kami manfaatkan apabila mencari projek sedemikian,” katanya.
Kata beliau, SCIB menawarkan perkhidmatan EPCC yang disokong oleh cabang pembuatannya, yang merupakan pengeluar konkrit pratuang dan IBS terkemuka di Malaysia Timur.
Tambah beliau, syarikat sedang giat meneruskan projek untuk sekolah usang di Sarawak dan Sabah, yang telah diperuntukkan bernilai RM920 juta.
“Ini adalah tambahan kepada pembidaan projek di kedua-dua negeri, yang masing-masing telah diperuntukkan RM5.6 bilion dan RM6.5 bilion di bawah Bajet 2023 yang dibentangkan semula.” katanya.
Harga saham syarikat pada 28 Mac 2023 ialah 0.125 sen dengan permodalan pasaran berjumlah RM72.8 juta. SCIB mempunyai buku pesanan sebanyak RM388 juta setakat Mac 2023. – UTUSAN










