PETALING JAYA: Ringgit melanjutkan aliran meningkat berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), dengan menjangkakan kenaikan kadar faedah yang lebih perlahan di AS selepas data inflasi terkini negara itu menunjukkan aliran menurun .
Pada pukul 9 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.4795/4835 berbanding dolar AS, daripada kadar penutup Selasa 4.4820/4860 sebelum ditutup pada 4.4790/4850.
Menurut Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff, pengukuhan ringgit itu berlaku disebabkan perubahan nilai dolar AS yang dihimpit krisis kejatuhan Silikon Valley Bank (SVB).
“Ringgit memang sentiasa akan terkesan dengan ketara apabila sesuatu berlaku pada prestasi mata wang AS.
“Kali ini, ringgit meneruskan pengukuhan selama tiga hari selepas krisis SVB kerana dolar AS memang agak terkesan sekarang.
“Bagaimanapun, saya lihat keadaan ini bersifat sementara dan selepas ini ringgit akan kembali kepada kadar sebelumnya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sementara itu, pedagang ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz berkata, bacaan Indeks Harga Pengguna (CPI) AS untuk Februari adalah tepat seperti yang dijangkakan pada 6.0 peratus, di bawah bacaan Januari sebanyak 6.4 peratus.
“Ini menunjukkan inflasi di AS semakin perlahan pada masa ini, justeru Rizab Persekutuan (Fed) mungkin mengambil sikap yang lebih ringan berhubung keputusan kadar faedah seterusnya pada 22 Mac,” katanya.
Sementara itu, mata wang tempatan ditutup kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia bertambah baik berbanding pound British kepada 5.4451/4547 daripada 5.4470/4543 pada penutupan Selasa, dan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.33203.3252/3309 daripada 3.3395/3432, tetapi jatuh berbanding euro kepada 4.8060/8138.
Pada masa yang sama, ia juga didagangkan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN lain.
Ringgit meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.9601/9812 daripada 12.9835/9965 pada Selasa, dan tidak berubah berbanding rupiah Indonesia kepada 0.0291/0292, tetapi susut berbanding dolar Singapura kepada 3.3336/3393 daripada 3.3227/3273 sebelum ini. – UTUSAN










