Qoala kumpul dana AS$7.5 juta

Qoala kumpul dana AS$7.5 juta

TIMBALAN Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Qoala, Tommy Martin (kiri) dan Harshet Lunani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarikat teknologi insurans (insurtech), Qoala, telah melengkapkan pusingan pembiayaan Siri B+ dengan mengumpul dana sebanyak AS$7.5 juta (RM33.17 juta).

Pusingan pembiayaan diketuai oleh responsAbility Investments AG (responsAbility), bukti pertumbuhan omnichannel Qoala di rantau ini yang beroperasi di Indonesia, Thailand dan Malaysia.

“Dengan misi untuk menambah baik kehidupan, Qoala telah memainkan peranan penting dalam memacu model kewangan yang lebih inklusif di rantau ini dengan menyediakan polisi insurans motor, harta tanah, perjalanan, kesihatan dan nyawa yang mampu milik dan boleh diakses.

“Sehingga kini, pelanggan Qoala telah menikmati manfaat tuntutan lebih daripada AS$30 juta (RM132.68 juta) hasil kerjasama dengan pihak insurans di ketiga-tiga pasaran,” kata syarikat itu dalam kenyataan.

Sejak Siri B Mei lalu, Qoala berjaya menggandakan jumlah premium bertulis kasar dan mengukuhkan kehadiran pasarannya di rantau ini.

Qoala turut menyumbang secara langsung kepada ekonomi dengan menyediakan lebih 60,000 peluang pekerjaan kepada ejen dan hasil tambahan kepada lebih 65 perniagaan.

Selain memberi kesan kepada ekonomi dengan mewujudkan peluang pekerjaan, Qoala turut memperkasa orang ramai dengan kecelikan kewangan merentasi pelbagai platform luar talian dan dalam talian.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Qoala, Harshet Lunani berkata, melalui pembiayaan Siri B+, syarikat akan memudahkan lagi pemilikan insurans dengan memajukan penawaran dan pengalaman produk.

“Kemajuan itu akan mengukuhkan kedudukan Qoala selari dengan usaha untuk pertumbuhan yang mampan di rantau ini,” katanya.

Qoala ialah syarikat insurtech dengan misi untuk mendemokrasikan insurans melalui kehadiran omnichannel dan pembangunan produk baharu.

Qoala beroperasi di tiga negara iaitu Indonesia, Malaysia dan Thailand, menawarkan pelbagai perlindungan insurans dan takaful daripada kereta, motosikal, harta tanah, kemalangan diri, perjalanan dan kesihatan yang boleh diakses dengan cepat, mudah dan telus melalui aplikasi atau laman web Qoala. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×