JOHOR BAHRU: Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), anak syarikat MMC Corp Bhd., akan melabur kira-kira RM3 bilion dalam masa lima tahun akan datang terutamanya untuk mengembangkan operasinya di zon bebas dan terminal pelabuhan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Macro Neelson berkata, pihaknya berhasrat untuk meningkatkan kapasiti mengendalikan kontena kepada 16.5 juta TEU (unit bersamaan 20 kaki) setahun daripada kira-kira 13 juta TUE ketika ini.
Katanya, sebahagian daripada pelaburan adalah dalam infrastruktur membabitkan peralatan baharu seperti kren dan trak serta infrastruktur logistik.
“Selain itu, ia membabitkan pelaburan dalam bidang automasi dan pendigitalan. Jadi, banyak perisian baharu serta penggerak utama automotif kepada alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG) berkaitan misalnya, mengubah cara kami mengendalikan trak, kos bahan api dan elektrik.
“Pada masa ini, cara kami merancang berdasarkan permintaan pelanggan. Kami melihat apa yang pelanggan perlukan dan berapa banyak kontena yang mereka rancang untuk dimasukkan ke dalam PTP. Berdasarkan itu, kami akan merancang pelaburan ini.
“Dengan ketiadaan sekatan Covid-19 serta rantaian bekalan telah mereda, kami jangka tidak ada penangguhan dalam projek dan semuanya akan mengikut perancangan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada lawatan suai kenal bersama media ke PTP di sini, kelmarin.
Sementara itu, beliau berkata, kos pelaburan tersebut akan menggunakan dana dalaman 100 peratus.
Mengulas mengenai sasaran pengendalian TEU pada tahun ini, beliau berkata, 2023 dijangka agak sukar berikutan pasaran global yang dijangka lebih lemah.
“Tahun lepas kami mencatatkan pengendalian TEU kedua terbesar iaitu sebanyak 10.5 juta. Untuk tahun ini, kami jangka agak lemah dan sukar dijangka.
“Namun begitu, kami optimis pada suku kedua dan separuh kedua tahun ini akan lebih baik,” ujarnya. – UTUSAN











