PKNS intai peluang bina rumah pintar bersama Samsung

PKNS intai peluang bina rumah pintar bersama Samsung

MAHMUD Abbas (kiri) dan Denny Kim menandatangani MoU secara digital sebagai gimik pemeteraian kerjasama PKNS dan Samsung di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN/ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pemaju hartanah, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melihat peluang untuk meneroka pembinaan bangunan dan rumah pintar pada masa hadapan menerusi kerjasama dengan Samsung Malaysia Electronics (Samsung).

PKNS dan Samsung memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk menawarkan pakej pembelian dengan kelengkapan perabot dan barangan elektrik serta elektronik di rumah.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mahmud Abbas, Samsung bukan sahaja dikenali sebagai pengeluar produk seperti telefon pintar, komputer, TV dan penghawa dingin malah syarikat gergasi tersebut memiliki teknologi bangunan pintar.

“Selain projek perumahan atas tanah, kita juga mempunyai projek bangunan tinggi yang mana kita boleh bekerjasama dengan Samsung untuk menerapkan ciri-ciri bangunan pintar di dalamnya.

“Mungkin kita boleh mengaplikasi teknologi pintar untuk projek komersial seperti kondominium,” katanya selepas menghadiri majlis menandatangani MoU antara kedua pihak di ibu pejabat PKNS, hari ini.

Beliau menambah, MoU tersebut menjadi satu kebanggaan dan pencapaian bagi PKNS apabila dapat bekerjasama dengan gergasi antarabangsa itu untuk pembangunan hartanah tempatan.

Jelas Mahmud lagi, menerusi MoU tersebut PKNS bersama Samsung menawarkan pakej pembelian rumah dengan tawaran produk keluaran syarikat elektronik itu pada harga istimewa.

“Pembeli rumah PKNS boleh membeli produk jenama Samsung dengan harga lebih rendah setelah diskaun istimewa diberikan. Insentif tersebut diberikan bermula dengan Projek Arianna, rumah link dua tingkat di Kota Puteri Rawang,” jelasnya.

Dalam pada itu, Presiden Samsung Electronics Malaysia, Denny Kim memberitahu, kerjasama kedua pihak memberi manfaat kepada pembeli rumah untuk mendiami rumah dengan teknologi pintar terkini.

Ujarnya, kolaborasi itu akan memantapkan bidang pemasaran hartanah dan pemasaran produk baharu Samsung. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN