MUKADIMAH
————
Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) ditubuhkan pada 1 Ogos 1964 di bawah Enakmen PKNS 1964 sebagai sebuah badan berkanun dan agensi pembangunan negeri Selangor.
Sejak penubuhannya sehingga kini PKNS terus menjadi sebahagian daripada penyumbang kepada kemajuan Negeri Selangor terutamanya di dalam membangunkan perumahan mampu milik buat rakyat negeri berkenaan.
Maka tidak hairanlah PKNS kini menjadi salah satu perbadanan negeri yang paling maju di antara kesemua perbadanan negeri yang ada di dalam negara.
Ikuti temu bual wartawan Utusan Malaysia, MOHAMAD HAFIZI MOHD SAID bersama Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, DATUK MAHMUD ABBAS bagi mengetahui perkembangan PKNS terutamanya di dalam sektor hartanah selepas hampir 59 tahun ditubuhkan.

UTUSAN: Boleh ceritakan secara ringkas permulaan dan perkembangan terkini PKNS?
MAHMUD ABBAS: PKNS ditubuhkan pada 1964, di mana ketika penubuhannya sebuah enakmen PKNS diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN), walaupun ia merupakan dasar kerajaan pusat tetapi kelulusan enakmen ini dibuat tiap-tiap kerajaan negeri. Kerana itulah semua kerajaan negeri mempunyai badan kemajuan negeri masing-masing.
Masa itu, PKNS mempunyai dua tunjang utama iaitu, pertama membina rumah di dalam kawasan bandar supaya orang-orang dari desa boleh ke bandar dan keduanya apabila mereka tinggal di bandar ia memberi mereka peluang pekerjaan dan itulah tujuan asal PKNS ditubuhkan.
Ketika zaman itu, PKNS telah meneroka bandar-bandar seperti Petaling Jaya Old Town dan mendirikan rumah disitu sebelum ke Petaling Jaya New Town, Dato’ Keramat, Ampang, Bangi dan Shah Alam.
Sekarang ini PKNS banyak menceburi pelbagai bidang kerana kita melakukan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi menampung kos untuk menjayakan rumah mampu milik serta membangunkan usahawan-usahawan di negeri ini.
Oleh itu, PKNS bukan sahaja membina rumah, kita juga membina kompleks perniagaan seperti SACC Mall, Kompleks PKNS, pusat konvensyen, hotel dan bangunan komersial yang lain. Kita juga turut menceburi bidang tenaga dengan membina stesen jana kuasa selain pusat kesihatan termasuk bakal membina hospital.
Apakah projek-projek yang dirancang dan bakal dilaksanakan pada 2023 dan berapakah nilai pembangunan kasar (GDV)?
Bagi tahun 2023 PKNS merancang untuk melaksanakan 10 projek perumahan melibatkan GDV berjumlah RM1 bilion. Projek ini akan dilancarkan secara berperingkat dengan tawaran harga bermula dari RM270,000 hingga RM550,000 setiap unit meliputi kediaman, komersial dan industri.
Antaranya adalah projek kediaman di Shah Alam, Bangi dan Selangor Cyber Valley, Cyberjaya antara projek PKNS yang sesuai untuk golongan muda kerana ia dibina berhampiran jaringan kemudahan awam antaranya stesen Transit Aliran Ringan (LRT), hospital dan sekolah.
PKNS juga merancang membangunkan kawasan perindustrian serta pusat beli-belah bagi membolehkan kita memperoleh pendapatan daripada hasil sewa bangunan ini memandangkan sasaran kutipan sewa kita bagi 2030 adalah sebanyak RM100 juta. Sekarang kutipan sewa PKNS hanya RM8 juta, jadi banyak lagi pembangunan yang perlu dijalankan tahun 2023 dan juga tahun-tahun akan datang.
Semua perancangan PKNS ini mengikut visi di mana kita tahu tiap-tiap tahun apa yang perlu kita laksanakan dan berapa banyak hartanah kita kena bangunkan setiap tahun.
Bagaimana PKNS melihat keperluan perumahan di dalam negara dan Selangor khususnya?
Matlamat kerajaan negeri Selangor ialah bagi memastikan setiap rakyat atau keluarga mendiami rumah yang baik dan selesa serta selamat. Dari situlah kerajaan negeri memperkenalkan rumah mampu milik atau ‘affordable homes’ bagi mengekang jurang harga yang ketara di antara rumah kos rendah dengan rumah harga bebas di pasaran selain fakor-faktor lain.
Secara keseluruhannya, PKNS akan senantiasa berusaha untuk memberi harga yg kompetitif dan sesuai mengikut lokasi, jenis rumah dan elemen tambah nilai. Hal ini menjadi asas dalam perancangan PKNS agar pelanggan mempunyai pilihan dan menjadikan PKNS salah satu pemaju utama dalam senario pembangunan perumahan di Malaysia.
PKNS terlibat dalam projek Rumah Selangorku (RSKU)? Jika ya, berapa yang telah dilaksanakan, bagaimana sambutan, dan apa projek seterusnya?
Sejak Dasar Rumah Selangorku (RSKU) dikeluarkan pada tahun 2013 sehingga Disember 2022 PKNS telah menyiapkan sebanyak 2,877 unit RSKU merangkumi kawasan di Bukit Botak, Bandar Baru Bangi, Antara Gapi, Kota Puteri, Taman Keruing Rasa dan Selangor Cyber Valley (SCV).
Terdapat hampir 9,000 unit lagi RSKU sedang dirancang untuk dibangunkan dalam tempoh 10 tahun di kawasan pembangunan PKNS iaitu di Selangor Cyber Valley, Sierra Alam, Setia Alam, Kota Puteri, Antara Gapi, dan Bernam Jaya. Sambutan RSKU di kawasan pembangunan PKNS amat baik. Sebagai contoh, projek terbaru yang memperolehi Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) pada Mac 2022 iaitu projek 864 unit RSKU Jenis D di SCV telah berjaya membuat serahan kunci kepada lebih 90 peratus pembelinya.
PKNS telah menandatangani perjanjian penswastaan bersama dua syarikat pada tahun 2022 untuk membangunkan sekurang-kurangnya 4,000 unit Rumah Selangorku (RSKU) di kawasan pembangunan milik PKNS seperti Selangor Cyber Valley (SCV), Sierra Alam dan Kota Puteri. Pembangunan RSKU ini dijangka akan dimulakan pada suku keempat 2023 (Q4 2023). Antara fasa pembangunan terawal adalah 1,441 unit RSKU di SCV dan 930 unit RSKU di Kota Puteri. Bakinya akan dimulakan pada tahun berikutnya.
Dari segi sambutan pula, jenama PKNS ini sudah lama dan dipercayai ramai, kebanyakkan pelanggan kami semua berpuas hati dengan rumah mampu milik yang kami bina dan kebiasaannya sebelum ia dilancarkan 40 peratus sudah terjual.
Cabaran pada tahun ini dengan kenaikan kos bahan binaan serta Kadar Dasar Semalaman (OPR) sejauh mana kesan kepada PKNS?
Kos harga barang sudah tentu menjadi antara impak yang ketara. Namun cabaran yang besar masih terletak pada keadaan ekonomi semasa. Perkembangan Perang Russia dan Ukraine telah pun dilihat kesannya kepada ekonomi Eropah serta Amerika Syarikat serta dunia secara keseluruhan.
Keadaan dunia globalisasi dan semakin kecil menyebabkan sebarang pergolakan ekonomi menghasilkan “ripple effect” kepada negara lain dan hal inilah pada kami faktor paling penting untuk dipantau agar PKNS senantiasa berada dalam keadaan sedia bagi memastikan plan alternatif wujud bagi senario yang berbeza.
Dari segi kenaikan OPR pula, walaupun sedikit ia akan memberi kesan ke atas jualan, namun dengan gabungan strategi pemasaran serta kepakaran team Jualan menyakinkan pembeli dengan produk dan insentif jualan menarik, PKNS optimis perkara ini dapat diatasi. – UTUSAN










