Persidangan peralihan tenaga pupuk kefahaman, perhalusi inisiatif

Persidangan peralihan tenaga pupuk kefahaman, perhalusi inisiatif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persidangan Peralihan Tenaga anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada Ogos ini, dijangka dapat memupuk kefahaman masyarakat mengenai kesan peralihan tenaga (ET) dan memperhalusi inisiatif yang perlu diambil pihak berkaitan untuk menangani ET.

Menurut Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, dalam proses ET dan fokus kepada kelestarian ketika ini, rantaian nilai tenaga amat wajar difahami oleh seluruh pengguna kerana setiap anggota masyarakat mempunyai peranan mengurangkan jejak karbon dalam kehidupan seharian.

Beliau menyifatkan penganjuran persidangan itu penting kerana ET memerlukan penghayatan dan penumpuan kerana sektor tenaga merupakan antara enjin pertumbuhan kritikal kepada ekonomi negara dengan menyumbang
secara ketara kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Sektor tenaga menjadi pemangkin kemakmuran ekonomi malah dalam banyak situasi, berperanan sebagai penggerak kepada pembangunan sektor utama seperti perdagangan, pengangkutan, industri, komersial dan sektor kediaman.

“Lebih utama, ia menyumbang kepada kemampanan tenaga, usaha menjaga alam sekitar dengan lebih baik dan bergerak ke arah masa depan yang lebih mampan terutamanya untuk generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan.

TNB akan menganjurkan persidangan tersebut pada 24 dan 25 Ogos 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur sebagai salah satu platform penting Malaysia untuk merangsang penyelesaian dan kerjasama merentasi pelbagai sektor ekonomi dalam menangani peralihan tenaga. Ia turut menampilkan pameran solusi peralihan tenaga.

Persidangan itu berpaksikan kepada peralihan dalam tiga kategori merangkumi Tenaga, Pengangkutan dan Perbandaran.

Topik-topik itu akan meliputi empat tema khusus terdiri daripada Tenaga Boleh Baharu (TBB), Penyahkarbonan, Pendigitalan dan Pemboleh Peralihan Tenaga yang merangkumi dasar, pasaran dan keupayaan.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, persidangan itu platform bagi pemimpin tempatan dan antarabangsa, pakar-pakar, penggiat industri, penggubal dasar dan komuniti berkongsi pelbagai kaedah inovatif daripada pelbagai industri untuk mempercepatkan ET bertanggungjawab.

Baharin berkata, penganjuran persidangan selaras dengan matlamat dan aspirasi Hala Tuju Kelestarian 2050 TNB.

“TNB komited memacu agenda peralihan tenaga negara melalui aspirasi pelepasan sifar bersih bagi menyokong Malaysia mencapai sasaran negara neutral karbon menjelang 2050,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN