Pelaporan ESG syarikat tersenarai kurang mendalam

Pelaporan ESG syarikat tersenarai Malaysia kurang mendalam, tidak terperinci

PEMBENTANGAN laporan GEM mengenai Pelaporan ESG syarikat tersenarai Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kajian ketelusan tentang Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang pertama kali dijalankan di Malaysia oleh Global ESG Monitor (GEM) mendapati, pelaporan ESG syarikat-syarikat tersenarai di Bursa Malaysia kurang mendalam dan tidak terperinci.

Menurut GEM, kajian yang dijalankan mendapati syarikat-syarikat Malaysia telah menggunakan rangka kerja, standard dan alat strategik yang diiktiraf di peringkat antarabangsa bagi laporan ESG mereka.

Bagaimanapun katanya, mereka kekurangan maklumat yang sesuai dan tahap perincian yang diperlukan untuk ketelusan yang optimum.

“Hal ini membuatkan syarikat-syarikat Malaysia berada pada kedudukan pertengahan berbanding syarikat-syarikat setara di peringkat global dan serantau,” katanya dalam kenyataan.

Penemuan daripada Laporan itu telah didedahkan pada hari ini di `Sustainability Perspectives’ acara ‘thought leadership’ yang dianjurkan oleh Perspective Strategies, rakan serantau GEM di Malaysia.

GEM adalah satu inisiatif penyelidikan yang mengkaji ketelusan pelaporan bukan kewangan syarikat-syarikat terbesar di dunia tentang ESG.

GEM 2022 menganalisis tahap ketelusan data ESG bukan kewangan bagi 625 laporan ESG daripada 350 buah syarikat yang tersenarai di 10 indeks pasaran saham terbesar dunia di empat benua.

Kedudukan itu berdasarkan tahap ketelusan dalam melaporkan strategi ESG, kematanan dan pendedahan penunjuk-penunjuk, dan bukannya prestasi keseluruhan syarikat bagi metrik tersebut.

Laporan Serantau Malaysia GEM 2022 menandakan Malaysia dimasukkan buat pertama kalinya dalam laporan penanda aras, dengan menilai 30 buah syarikat yang tersenarai di FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBMKLCI).

Pengasas Bersama GEM, Michael Diegelmann berkata, penyertaan FBMKLCI Malaysia dalam GEM 2022 mencerminkan komitmen negara untuk amalan perniagaan yang telus dan mampan. Dengan skor purata sebanyak 54 daripada 100 mata, indeks Malaysia berada pada kedudukan kelima bersama dengan Dow Jones dalam 10 indeks yang ditinjau.

“Kedudukan ini meletakkan FBMKLCI mengatasi S&P 50 USA USA (53 mata), ASX 50 (53 mata), WIG 20 (51 mata) dan BET 20 (41 mata). Manakala indeks yang berada di atas FBMKLCI pula ialah S&P Asia (56 mata), Hang Seng (57 mata),
EUROSTOXX (66 mata) dan DAX (68 mata).

“Kedudukan FBMKLCI membuktikan kemajuan dalam kemampanan dan juga menunjukkan keperluan untuk pelaporan ESG yang lebih mendalam dan terperinci di Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×