Pasaran saham dijangka tidak menentu - Utusan Malaysia

Pasaran saham dijangka tidak menentu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pasaran Bursa Malaysia dijangka akan mengalami ketidakpastian dalam waktu terdekat akibat kebimbangan mengenai kemelesetan ekonomi, kegagalan Silicon Valley Bank (SVB), dan pengurangan kontrak minyak.

Penurunan sistem penilaian perbankan Amerika Syarikat (AS) oleh Moody’s juga dapat menimbulkan ketidakpastian dan mengurangkan keyakinan pelabur.

Timbalan Dekan Penyelidikan, Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia, Prof. Madya Dr. Rasidah Mohd Rashid berkata, hal itu mungkin menyebabkan penjualan saham ekuiti dan aset berisiko tinggi, termasuk saham di Bursa Malaysia.

“Itu boleh meningkatkan ketidakpastian pasaran, mengurangkan keyakinan pelabur, dan membawa kepada peningkatan penghindaran risiko.

“Turun naik pasaran yang meningkat dan penghindaran risiko juga boleh menyebabkan pelabur asing menarik balik pelaburan mereka dari Bursa Malaysia, dan ini menyebabkan permintaan untuk saham Malaysia menurun.

“Itu sekali gus boleh menyebabkan penurunan harga saham dan menimbulkan tekanan pada Bursa Malaysia.

“Selain itu, kekurangan keyakinan pada pasaran global boleh memberi impak kepada ekonomi secara keseluruhannya, dan berpotensi memberikan kesan yang signifikan pada pasaran kewangan global termasuk Bursa Malaysia,” katanya

Ujarnya, walaupun impak langsung terhadap Bursa Malaysia mungkin tidak terlalu besar, perlu diingatkan bahawa Bursa Malaysia juga terikat dengan keadaan ekonomi dan kewangan global.

Oleh itu, katanya, sekiranya krisis ekonomi dan kewangan global terjadi, maka ia dapat memberikan kesan yang signifikan terhadap Bursa Malaysia.

Mengulas lanjut, beliau berkata, laporan inflasi utama AS juga menimbulkan kebimbangan, kerana ia menunjukkan inflasi yang berterusan yang boleh menyebabkan kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (fed) AS.

“Berdasarkan faktor-faktor ini, pasaran Bursa Malaysia diramalkan akan mengalami turun naik dengan mengambil kira keadaan harga minyak yang juga tidak stabil, kemungkinan ia dapat memberi impak kepada saham-saham minyak dan gas yang tersenarai di bursa.

“Oleh itu, para pelabur di Bursa Malaysia perlu memantau faktor-faktor ini dengan teliti untuk membuat keputusan pelaburan yang tepat dan bersedia menghadapi potensi ketidakstabilan dan fluktuasi dalam pasaran,” katanya.

Mengenai ringgit pula, Rasidah Mohd. berkata, ringgit terkini telah jatuh berbanding dolar AS dan juga didagangkan lebih rendah berbanding kebanyakannya  mata wang utama lain.

Oleh itu, jelasnya, ringgit masih akan mengalami turun naik dalam masa terdekat, terutamanya jika terdapat perkembangan selanjutnya dalam sistem perbankan global atau jika fed AS mengumumkan perubahan yang tidak dijangka terhadap dasar monetari mereka.

Sementara itu, Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff menjangkakan indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) akan berlegar sekitar 1,400 mata pada minggu depan kerana sentimen masih lemah disebabkan krisis perbankan di AS yang menjejaskan keyakinan pelabur.

“Ringgit pula mungkin akan berada di sekitar RM4.40 hingga RM4.50 disebabkan ketidakstabilan dolar AS,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya