PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) dijangka mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat bagi tahun kewangan 2022 antara 3.5 hingga 4.5 peratus berbanding 3.1 peratus tahun sebelumnya.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar ekonomi juga Pensyarah Kanan City University Malaysia, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, pembukaan semula ekonomi ekoran pandemik Covid 19 tahun lalu merupakan antara faktor dividen TH bagi 2022 dijangka menyederhana.
Menurut beliau, unjuran berkenaan juga dibuat berdasarkan prestasi dan pengumuman dividen TH bagi tahun-tahun sebelumnya yang berada sekitar paras tiga peratus.
“Kalau kita lihat tahun 2022, sektor ekonomi baru hendak dibuka semula dan mungkin dari segi pendapatan TH sedikit berkurangan tetapi saya jangka TH meraih keuntungan melalui pelaburan dalam sektor perladangan memandangkan harga sawit meningkat.
“Jadi saya nampak kali ini dividen agak sederhana dan jangkaan saya mungkin antara 3.5 hingga 4.5 peratus dan berdasarkan kegiatan ekonomi 2022 saya rasa jumlah dividen ini berpatutan,” katanya.
Beliau tidak menolak kemungkinan TH akan mengumumkan dividen sehingga lima peratus namun berdasarkan situasi ekonomi tahun lalu ia dilihat agak mustahil.
“Kalau pendapatan dia baik mungkin boleh sampai lima peratus tapi jangkaan saya masih lagi sederhana dan kita tidak boleh menjangkakan ia tinggi,” katanya.
Sementara itu, penganalisis ekonomi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd. Dali menjangka TH akan mengumumkan dividen 2022 sekitar tiga peratus.
Katanya, dividen TH bagi 2022 dilihat lebih sederhana disebabkan TH mengamalkan strategi pelaburan yang selamat ekoran ketidaktentuan ekonomi global.
“Saya rasa dividen kali ini tidaklah tinggi, tidaklah rendah, ia sederhana sebab kita lihat TH punya strategi pengurusan dana lebih kepada pendapatan tetap.
“Kalau kita lihat sebelum ini memang strateginya lebih kepada jaminan pendapatan tetap jadi bila ini berlaku kita tahu pulangannya memang akan rendah,” katanya.
Semalam TH dalam satu kenyataan memaklumkan akan mengumumkan agihan keuntungan bagi tahun 2022 pada awal suku kedua tahun ini setelah kedudukan kewangannya selesai diaudit dan diluluskan.
Jelasnya, keputusan berkenaan mengambil kira saranan penambahbaikan serta maklumbalas awal Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI), selaras dengan usaha TH untuk memperkukuhkan operasi, pengurusan dan tadbir urus institusi haji negara.
Untuk rekod, TH mengumumkan dividen sebanyak 3.1 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021. – UTUSAN










