PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada Mei nanti berikutan keputusan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) menaikkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas (bps).
Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, apabila beza kadar antara AS dan Malaysia semakin melebar kepada dua peratus, ini boleh menyebabkan pelabur asing mengambil keputusan melabur di AS dan tidak di Malaysia.
“Oleh itu, BNM kemungkinan akan mengurangkan jurang tersebut dengan turut menaikkan kadar asas sebanyak 25 mata pada Mei nanti.
“Namun, ia tetap bergantung kepada situasi semasa kadar inflasi negara untuk beberapa bulan akan datang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Keputusan bank pusat AS untuk menaikkan kadar faedah penanda aras sebanyak 0.25 mata peratusan kepada julat sasaran 4.75 peratus hingga 5.0 peratus berlaku walaupun terdapat masalah dalam sektor perbankan, baru-baru ini.
Mengulas perkara tersebut, beliau berkata, krisis bank di AS sepatutnya menjadi penyebab Fed untuk tidak menaikkan kadar faedah dengan lebih tinggi lagi kerana mereka masih cuba menangani kadar inflasi yang tinggi.
“Oleh itu, kadar 25 mata asas itu dianggap sebagai langkah berhati-hati,” ujarnya.
Sebaliknya, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berpendapat, keputusan Fed mungkin belum mendesak BNM menaikkan OPR pada mesyuarat MPC akan datang.
“Faktor ekonomi domestik yang memerlukan sokongan kos dana yang murah menjadi faktor utama, sebagai pemangkin ekonomi negara untuk mencapai sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 4.5 peratus.
“Apatah lagi ekonomi global yang juga semakin suram, dengan harga komoditi utama seperti minyak mentah semakin menurun kepada AS$72 setong menandakan pengurangan permintaan dan ekonomi global yang semakin perlahan.
“Tiga bank besar AS yang dilanda krisis serta isu Swiss Credit Suisse memberikan cabaran hebat dan berterusan kepada pasaran kewangan global dalam melayari kadar inflasi yang tinggi serta ancaman kesan domino kepada institusi kewangan yang lain,” ujarnya.
Baru-baru ini, Fed AS menggubal satu suku peratusan mata kenaikan kadar faedah, sebagai langkah berhati-hati tentang krisis perbankan baru-baru ini dan menunjukkan bahawa kenaikan semakin hampir berakhir.
Seiring dengan kenaikan kesembilan sejak Mac 2022, Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) penetapan kadar menyatakan bahawa kenaikan masa depan tidak terjamin dan akan bergantung pada data. – UTUSAN











