NRECC, TNB tingkat kepekaan rakyat kepada peralihan tenaga

NRECC, TNB tingkat kepekaan rakyat kepada peralihan tenaga

NIK Nazmi Ahmad melancarkan Persidangan Peralihan Tenaga yang akan dianjurkan oleh TNB pada 24 Ogos depan di Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) berganding bahu dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan agensi berkaitan untuk membangunkan masyarakat peka tenaga agar dapat menyumbang kepada kelestarian industri tenaga negara.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, NRECC menyambut inisiatif ini untuk berganding bahu dengan TNB, menjadikan Program Literasi Tenaga Malaysia (MELP) yang baru dilancarkan sebagai inisiatif nasional dengan agenda khusus untuk meningkatkan kepekaan rakyat dan menjadikan mereka lebih berpengetahuan mengenai industri tenaga.

“Apabila kita dapat meningkatkan pengetahuan, kita mampu bertindak balas menggunakan tenaga dengan lebih cekap, menyumbang kepada kemampanan tenaga, menjaga alam sekitar dengan lebih baik dan bergerak ke arah masa depan yang lebih mampan terutamanya untuk generasi akan datang.

“Melalui MELP, usaha-usaha bersepadu boleh diatur untuk mewujudkan program-program lebih berkesan dalam membentuk masyarakat peka tenaga, sekali gus memupuk manusia bertamadun yang mempunyai nilai-nilai MADANI.

“Dengan itu, rakyat dapat menghayati kepentingan peranan yang boleh mereka lakukan untuk menyumbang kepada peralihan tenaga menuju negara neutral karbon.

“Rakyat juga perlu didedahkan dengan pelbagai inisiatif dalam peralihan tenaga dan kepentingannya terhadap menangani kesan perubahan iklim,” katanya dalam majlis pelancaran, semalam.

Sempena pelancaran MELP, TNB mempamerkan Gallery Walk bertemakan ‘Bersama Negara Melalui Peralihan Negara’ yang mencakupi keseluruhan rantaian ekosistem tenaga dengan paparan peralihan tenaga dan hala tuju kelestarian, kecekapan tenaga serta tenaga boleh baharu (TBB) di samping ekosistem kenderaan elektrik (EV).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, TNB akan menganjurkan Persidangan Peralihan Tenaga yang memberi tumpuan kepada tenaga, perbandaran dan pengangkutan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 24 Ogos 2023.

Katanya, persidangan itu menghimpunkan para pemimpin pemikiran antarabangsa, pakar, peneraju industri, penggubal dasar dan komuniti berkaitan selama dua hari bagi membincangkan cabaran peralihan tenaga.

“Persidangan Peralihan Tenaga dan MELP mempunyai kaitan rapat sebagai platform menyediakan perkongsian maklumat penyelesaian teknologi mampan dalam usaha mempercepatkan pacuan peralihan tenaganya yang bertanggungjawab.

“Tumpuan kepada peralihan tenaga akan memesatkan lagi transformasi digital pelanggan untuk menerapkan gaya hidup yang mampan serta pintar selaras dengan kehendak dan keperluan masyarakat,” ujarnya.

Jelasnya, TNB sendiri mempercepatkan pacuan peralihan tenaga secara bertanggungjawab dengan meningkatkan nilai perusahaan bisnes penjanaan TNB, meluaskan pasaran Tenaga Boleh Baharu (TBB), memperkasa grid dan membangunkan ekosistem EV.

“Inisiatif hala tuju kehidupan lestari masa depan itu adalah sejajar Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang menjadi agenda sejagat dengan melindungi bumi serta mewujudkan keseimbangan ekonomi, sosial dan alam sekeliling,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN