KUALA LUMPUR: Kerajaan bakal memperkenalkan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang disemak semula pada suku ketiga tahun ini dalam merealisasikan aspirasi negara menjadi pintu masuk pelaburan ke Asia.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kajian semula NIMP 2023 akan mengkaji beberapa isu utama seperti pembaharuan struktur keseluruhan, mempertingkatkan ekonomi dan mewujudkan ekosistem yang sesuai untuk industri sasaran.
Katanya, kajian semula tersebut juga bakal membina kapasiti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menerima prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) bagi menyediakan golongan berkenaan dengan permintaan pasaran global.
“NIMP 2030 akan menetapkan tahap untuk pembangunan perindustrian Malaysia, terutamanya dalam menambah baik kemudahan menjalankan perniagaan untuk pelabur, melonjakkan produktiviti dan menarik pelaburan digital berkualiti tinggi, sekali gus mencipta lebih nilai melalui data serta teknologi berasaskan awan.
“Semua ini akan diselaraskan dengan fokus ESG kerajaan yang akan mengutamakan pelaburan yang memberi manfaat kepada semua pihak,” katanya pada Sidang Media Tahunan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkenaan pengumuman prestasi pelaburan Malaysia Tahun 2022 di sini, hari ini.
Tambah beliau lagi, pembiayaan projek hijau dan tenaga boleh diperbaharui juga akan diberi keutamaan untuk mengurangkan jejak karbon negara dan menggalakkan pembangunan mampan.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Tengku Zafrul berkata, MITI turut menunjukkan komitmennya terhadap Revolusi Industri 4.0 melalui menubuhkan Pejabat Pelaburan Digital (DIO) dengan menyasarkan menarik RM70 bilion pelaburan digital melalui DIO menjelang 2025.
“Melangkah ke hadapan, MITI dan agensinya, seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), akan terus bekerja keras menarik pelaburan digital berkualiti tinggi, menjana lebih banyak nilai dan peluang pertumbuhan melalui data dan teknologi berasaskan awan, serta mewujudkan pekerjaan bergaji tinggi untuk rakyat Malaysia.
“Selaras dengan hasrat negara untuk menjadi pintu masuk pelaburan Asia, kerajaan juga akan memastikan pertumbuhan seimbang serta memberi manfaat kepada semua pihak berkepentingan melalui pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran yang mampan untuk rakyat,” katanya. – UTUSAN










