Vape: Kerajaan digesa berbincang dengan industri

MVIA gesa kerajaan bincang dengan industri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan digesa membuat perbincangan dengan industri rokok elektronik (vape) dan mengkaji semula dasar Generasi Penamat (GEG) yang akan melarang penjualan vape kepada pengguna pada masa hadapan.

Pihak industri turut menyuarakan kebimbangan terhadap kesan dasar tersebut ke atas masa hadapan industri tempatan.

Dalam pembentangan Belanjawan 2023 pada minggu lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan menyokong ikhtiar GEG.

Pada tahun lalu, ramai dalam industri telah menyatakan kebimbangan mereka terhadap cadangan GEG daripada mantan menteri kesihatan dan telah menyeru agar dasar tersebut disemak dan dinilai semula.

Presiden Malaysian Vape Industry Advocacy (MVIA),  Rizani Zakaria berkata, dasar GEG itu akan memberikan kesan kepada industri tempatan yang terdiri daripada pengusaha dalam bidang pengilangan, pengedaran dan peruncitan.

“Ia perlu dikaji dengan mendalam sebelum keputusan diambil. Kerajaan seharusnya mengambil kira potensi industri vape di Malaysia di mana ia telah berkembang dan ramai yang telah melabur dalam industri ini.

“Larangan ini akan mengakibatkan industri tempatan menggulung tikar dalam jangka masa panjang,” katanya dalam kenyataan.

Selepas kerajaan membuat pengumuman tersebut, Rizani berkata, industri tidak berpeluang untuk berjumpa dengan Menteri Kesihatan baharu untuk memberikan pandangan dari industri berkenaan cadangan tersebut.

“Sejak penubuhan Kerajaan Perpaduan dan Menteri Kesihatan baharu dilantik, industri tidak mempunyai peluang untuk membuat perbincangan berkenaan dasar ini.

“Pada masa yang sama, Kementerian Kesihatan juga tidak mengadakan sebarang perbincangan dengan pihak industri berkenaan perkara ini dan rangka peraturan ke atas industri vape.

“Pengumuman yang dibuat minggu lepas memberikan kejutan kepada pemain industri kerana ia merupakan cadangan daripada mantan menteri terdahulu. Pihak industri memohon agar Menteri Kesihatan memberikan peluang kepada pemain industri untuk berbincang bersama berkenaan perkara ini sebelum keputusan diambil,” katanya.

Pada masa yang sama, MVIA juga memohon agar Kementerian Kewangan melibatkan pemain industri dalam perbincangan berkenaan cukai yang bakal dikenakan ke atas produk vape.

“Kami berharap agar kadar cukai vape yang bakal dikenakan tidak terlalu tinggi supaya harga produk tidak menjadi terlampau mahal. Perbincangan juga perlu diadakan untuk merangka cara percukaian ke atas produk vape,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN