PETALING JAYA: UDA Holdings Berhad (UDA) mengumumkan pelantikan Tan Sri Mohd. Annuar Zaini sebagai Pengerusi UDA berkuat kuasa hari ini, menggantikan Datuk Norliza Abdul Rahim.
Beliau memiliki Ijazah Sarjana Perundangan dan Diplomasi dari Tufts University, Amerika Syarikat dan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Memulakan kerjaya dalam perkhidmatan kerajaan sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 1977, selain berkhidmat di beberapa kementerian dan jabatan kerajaan di peringkat Persekutuan serta Kerajaan Negeri Perak.
Pada 1999, beliau memilih bersara secara pilihan daripada jawatan kerajaan untuk menceburkan diri dalam sektor swasta.
Beliau dilantik sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Waqaf Malaysia pada 2021, Pengerusi MRCB Land Sdn. Bhd. (2022) dan Pengerusi Metropolitan Utilities Sdn. Bhd. sejak 1993.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berkata, kementerian yakin pelantikan Mohd. Annuar dapat membawa UDA untuk bersama-sama kementerian memperkasa golongan usahawan menerusi segmen perniagaannya dan seterusnya menyokong hasrat kerajaan ke arah pembangunan Malaysia Madani.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Datuk Sri Mohd. Salem Kailany berkata, bagi pihak Ahli Lembaga Pengarah, barisan pengurusan, serta seluruh warga kerja UDA, beliau mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan mengalu-alukan pelantikan Mohd. Annuar dalam menerajui kepimpinan syarikat.
“Semoga kepimpinan beliau menjadi aspirasi seterusnya memacu kecemerlangan dan kelestarian UDA di masa hadapan,” ujarnya.
Mohd. Annuar pernah diberikan tanggungjawab sebagai Penasihat dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (2007-2009), Pengerusi BERNAMA (Februari 2004 – Januari 2010), Pengarah Eksekutif Berjaya Corporation Berhad (2001-2004).
Selain itu, beliau pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah Malaysia Airline System Berhad (2005-2011), PLUS Expressways Berhad (2007-2012), Tropicana Corporation Berhad (2010-2015), Ahli Lembaga Pengarah (Bebas dan Bukan Eksekutif) Manulife Holdings Berhad, Manulife Insurance Berhad dan Manulife Investment Management (M) Berhad (2011-2020). – UTUSAN










