MDEC, KPMG bekerjasama galak pertumbuhan 20 syarikat pemula

MDEC, KPMG jalin kerjasama galak pertumbuhan 20 syarikat pemula

GOPI Ganesalingam (dua kiri) dan rakan kongsi urusan KPMG di Malaysia, Datuk Johan Idris menyaksikan pertukaran dokumen kerjasama antara MDEC dan KPMG di Cyberjaya, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menjalin kerjasama dengan firma perkhidmatan profesional, KPMG bagi menggalakkan pertumbuhan 20 syarikat pemula atau start ups untuk menjadi syarikat unicorn menjelang 2025 dalam bidang teknologi.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz berkata, Founders Centre for Excellence (FOX) kendalian MDEC adalah inisiatif intervensi untuk menyediakan sokongan kepada syarikat terpilih yang berpotensi tinggi menjadi unicorn seterusnya.

“Objektif kami adalah untuk mengembangkan lima syarikat unicorn dari Malaysia menje­lang 2025 dengan menumpukan kepada strategi serampang dua mata dari segi meningkatkan kebolehupayaan dan penambahbaikan untuk semua pengasas teknologi yang ingin mempercepatkan pertumbuhan mereka.

“Enam tonggak utama menerusi program FOX termasuk intervensi polisi, pengembangan perniagaan, pelaburan ber­nilai tinggi, perundingan serta pemerolehan bakat dan bim­bingan,” katanya pada program pertukaran dokumen kerjasama antara MDEC FOX dan KPMG di Ibu Pejabat MDEC di sini, semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Naib Presiden Kanan MDEC, Gopi Ganesalingam.

Mengulas lanjut, Mahadhir berkata, kerjasama itu termasuk menyediakan perundingan serta nasihat mengenai fintech dan inovasi, ketahanan teknologi, kesinambungan perniagaan, infrastruktur dan tadbir urus serta risiko dan pematuhan.

“Kami yakin kerjasama antara MDEC dan KPMG akan memberi manfaat kepada 20 syarikat pemula tersebut dari segi pengetahuan dan sokongan untuk terus memperkukuh perjalanan perniagaan mereka.

“Tambahan pula, terdapat jangkaan yang tinggi bahawa program FOX oleh perintis terpilih ini akan memberi inspirasi terhadap generasi usahawan di negara ini,” katanya.

Sementara itu, rakan kongsi urusan KPMG di Malaysia, Datuk Johan Idris percaya, ekosistem ‘start ups’ akan terus memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi, inovasi dan penciptaan pekerjaan terutama dalam ekonomi yang sedang pesat membangun seperti di Malaysia.

“KPMG berbangga untuk bekerjasama rapat dengan MDEC dalam membantu 20 syarikat pemula mencapai potensi sebenar mereka,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN