PETALING JAYA: MBSB Bank Berhad (MBSB Bank) membuka cawangan baharu di Kota Bharu, Kelantan terletak di Jalan Sultan Yahya Petra.
Ketua Pegawai Strategi MBSB Bank, Datuk Azlan Shahrim berkata, pembukaan cawangan tersebut penting kerana masih terdapat pelanggan yang memilih untuk menguruskan kewangan mereka secara interaksi bersemuka, terutama yang memerlukan khidmat nasihat terperinci.
“Dengan pembukaan cawangan ini, pelanggan boleh mengetahui dengan lebih lanjut mengenai Akaun Simpanan Primewin-i dan Akaun Semasa Primewin-i.
“Akaun tersebut memberi peluang kepada pelanggan memenangi hadiah menarik termasuk wang tunai, kereta mewah, pakej percutian melalui penganjuran kempen ‘Simpan Berganda Menang Bergaya 2.0’ yang sedang berlangsung sehingga 31 Mei 2023,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, MBSB Bank sentiasa komited untuk berkhidmat kepada masyarakat bukan sahaja menerusi produk-produk perbankan tetapi juga menerusi pelbagai program tanggungjawab sosial korporat.
Pada Disember 2022, MBSB Bank telah menyalurkan sumbangan makanan asas melalui Program Box of Care kepada 300 orang penduduk di Program Perumahan Rakyat (PPR) Kota Bharu.
Sementara itu, pada Januari lalu, sumbangan ‘Box of Care’ turut disampaikan kepada 150 orang mangsa banjir di daerah Kota Bharu, Pasir Puteh dan Pasir Mas.
“MBSB Bank turut menawarkan Pembiayaan Peribadi-i dengan jumlah pembiayaan sehingga ke RM400,000 dan tempoh pembiayaan sehingga 10 tahun.
“Manakala produk Deposit Bertempoh-i menawarkan kadar yang sangat kompetitif sehingga 4.30 peratus setahun,” jelasnya.
Tambah MBSB Bank, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) juga boleh memanfaatkan pembiayaan perbelanjaan modal, perbelanjaan operasi dan modal kerja yang ditawarkan oleh MBSB Bank.
Selain itu, menerusi MBSB Bank, pengusaha PKS juga boleh memohon Skim Jaminan Kerajaan PEMULIH (PGGS) oleh Syarikat Jaminan Pembayaran Perniagaan Berhad (SJPP) yang menyediakan pembiayaan baharu, kemudahan pembiayaan sedia dan lanjutan tempoh pembiayaan, serta modal kerja tambahan bagi menggiatkan semula perniagaan. – UTUSAN








