Malaysia raih pelaburan RM264.6 bilion tahun lalu

Malaysia raih pelaburan RM264.6 bilion tahun lalu

TENGKU ZAFRUL Tengku Abdul Aziz merasmikan Sidang Media Tahunan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di Kuala Lumpur, semalam. – MIDA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia berjaya meraih RM264.6 bi­lion pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkilangan, perkhid­matan dan utama pada 2022 di sebalik persekitaran ekonomi yang mencabar tahun lalu.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pelaburan melibatkan 4,454 projek itu dijangka bakal mewujudkan 140,370 peluang pekerjaan kepada rakyat negara ini.

Menurut beliau, pelaburan langsung asing (FDI) kekal sebagai penyumbang tertinggi sebanyak RM163.3 bilion atau 61.7 peratus daripada jumlah pelaburan tahun lalu, manakala pelaburan langsung domestik (DDI) pula menyumbang 38.3 peratus atau RM101.3 bilion.

“China menyumbang FDI pa­ling banyak berjumlah RM55.4 bilion diikuti oleh Amerika Syarikat (AS) sebanyak RM29.2 bilion, Belanda RM20.4 bilion, Singapura RM13.5 bilion dan Jepun RM11.4 bilion.

“Sebilangan besar pelaburan yang diluluskan berlaku di Johor sebanyak RM70.6 bilion, Selangor RM60.1 bilion, Sarawak RM28.2 bilion, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur RM25 bilion dan Pulau Pinang RM16.3 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media Tahunan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkenaan pe­ngumuman prestasi pelaburan Malaysia di sini, semalam.

Beliau berkata, sektor perkhid­matan, perkilangan dan utama negara menunjukkan daya tahan dalam menghadapi landskap ekonomi yang mencabar dan sekaligus membuktikan Malaysia terus membangkitkan keyakinan dan kekal sebagai destinasi pilihan untuk pelabur global yang mencari peluang jangka panjang stabil.

Katanya, sektor perkhidmatan menjadi penyumbang terbesar kepada jumlah pelaburan yang diluluskan sebanyak RM154 bilion atau 58.2 peratus dan dijangka bakal menyediakan lebih 63,000 peluang pekerjaan.

“Dijangka lebih 63,000 peluang pekerjaan dalam bidang seperti perkhidmatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), dan Perkhidmatan Logistik Bersepadu (ILS) akan diwujudkan, yang memerlukan kepakaran dan kemahiran yang luar biasa.

“Sementara itu, sektor perkilangan menjadi penyumbang kedua terbesar dengan menerima RM84.3 bilion atau 31.9 peratus dalam kelulusan, manakala sektor utama mencatatkan RM26.3 bilion atau 9.9 peratus,” katanya.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, meskipun jumlah pelaburan yang diluluskan tahun 2022 lebih rendah berbanding 2021, ia masih merupakan kadar pelaburan kedua tertinggi negara dalam sejarah.

Katanya, jumlah pelaburan tahun lalu perlu dipertingkatkan bagi 2023 selari dengan tumpuan baharu kerajaan terhadap dasar ekonomi yang berkesan, persekitaran pelaburan yang menggalakkan, kestabilan politik, dan promosi pelaburan yang diselaraskan oleh semua agensi, baik di peringkat Kerajaan Persekutuan dan negeri.

“Saya dengan sukacitanya melaporkan bahawa penekanan Malaysia dalam mewujudkan persekitaran mesra pelaburan dan mengekalkan reputasinya sebagai destinasi pelaburan yang stabil telah terus menarik aliran pelaburan yang stabil dan menjadikan Malaysia hab pengembangan perniagaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN