KUALA LUMPUR: Malaysia mampu mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju utama pengeluar produk dan perkhidmatan halal disamping menguasai lebih banyak pasaran industri berkenaan di peringkat global.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ekosistem industri halal serta kepakaran negara yang diiktiraf dunia perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi memastikan Malaysia menerajui sektor halal global.
Menurut beliau, pelancaran Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030) oleh kerajaan secara jelas merancang bagaimana negara boleh memanfaatkan permintaan global bagi produk dan perkhidmatan halal yang meningkat secara strategik.
“Malaysia telah disenaraikan sebagai ekonomi halal terkemuka dunia bagi sembilan tahun berturut-turut dan kedudukan Malaysia sebagai peneraju global dalam industri halal tidak boleh dipertikaikan dengan adanya HIMP 2030.
“Melalui HIMP 2030, kami mengunjurkan bahawa industri halal negara akan berkembang kepada AS$113.2 bilion menjelang 2030, dengan sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 8.1 peratus menjelang 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada prapelancaran Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS 2023) edisi ke-19 di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berbesar hati menjadi pemacu strategik HIMP 2030 melalui sokongan pelaksanaan yang kukuh oleh agensinya, Perbadanan Pembangunan Halal (HDC).
Katanya, MITI akan mempertingkatkan komponen ekosistem halal ke arah memartabatkan kedudukan Malaysia sebagai pemain utama dalam pasaran halal global dengan memanfaatkan populasi dua bilion muslim seluruh dunia.
“Dalam mencapai objektif ini, MITI dan agensinya telah mula berkerja dalam meletakkan industri halal sebagai sektor alukratif dan berdaya saing, terutamanya untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya.
Sementara itu, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) optimis untuk mencapai transaksi jualan sebanyak RM2.1 bilion menerusi MIHAS 2023 yang bakal diadakan bermula 12 hingga 15 September depan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd. Mustafa Abdul Aziz berkata, nilai jualan yang disasarkan itu mampu dicapai dengan pembukaan semula sempadan China yang memberi manfaat positif kepada ekonomi negara memandangkan republik itu adalah rakan dagang utama Malaysia.
Beliau berkata, MIHAS tahun ini turut diadakan secara hibrid selain mempamerkan 1,500 tapak pameran melibatkan 13 kluster utama dari 40 negara.
“Tahun lalu kami menyasarkan transaksi jualan sebanyak RM1.9 bilion sempena MIHAS ke-18 dan jumlah itu berjaya melepasi sasaran dengan mencatatkan RM2.34 bilion jualan.
“Selain itu, kami menyasarkan 40 negara turut serta di MIHAS 2023 dengan lima negara utama terbabit iaitu Thailand, China, Indonesia, India dan Korea Selatan serta 35,000 kehadiran pengunjung dari dalam dan luar negara sepanjang empat hari pameran itu diadakan,” katanya. – UTUSAN










