Malaysia antara lokasi tumpuan M&A

Malaysia antara lokasi tumpuan M&A

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia antara ‘lokasi panas’ untuk aktiviti penggabungan dan pengambilalihan (M&A) huluan (industri minyak dan gas) di Asia Tenggara dalam tempoh dua tahun akan datang, menurut Rystad Energy.

Firma itu berkata, ledakan di Asia Tenggara akan menyaksikan jualan aset huluan bernilai AS$5 bilion (RM22 bilion), sebahagian besarnya di Indonesia, bernilai lebih AS$2 bilion (RM 8.80 billion), diikuti Malaysia dan Viet­nam, masing-masing dengan nilai AS$1.4 bilion (RM6.16 bilion) dan AS$1 bilion (RM4.40 bilion).

Katanya, kira-kira AS$700 juta (RM3.08 bilion) tawaran telah pun disiapkan setakat ini. Sebanyak 74 peratus aset berada dalam peringkat keputusan pra akhir pelaburan, pengeluaran (21 peratus) dan pembangunan (5 peratus).

Firma itu menambah, ia mewakili kira-kira empat juta tong minyak setara (boe) dalam sumber dan sekitar 270,000 boe pengeluaran harian dengan nisbah gas-ke-cecair 63:37.

Naib Presiden Penyelidikan Huluan Rystad, Prateek Pandey berkata, terdapat banyak pertukaran wang di Asia Tenggara sekarang.

“Urus niaga minyak dan gas yang besar di rantau ini akan menghidupkan semula sektor itu, mengurangkan pergantu­ngan kepada syarikat minyak nasional dan pemain utama yang telah berkembang dalam beberapa dekad kebelakangan.

“Asia Tenggara memberikan peluang yang sangat baik untuk pemain huluan yang ingin me­ngukuhkan portfolio hidrokarbon mereka.

“Rangka kerja fiskal dan kawal selia memainkan peranan pen­ting dalam menggalakkan aktiviti M&A, membantu menarik pembeli dan menjamin tawaran,” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, penambahbaikan pentadbiran yang telah dilaksanakan oleh Malaysia, Indonesia dan Thailand sejak beberapa tahun kebelakangan meningkatkan minat syarikat besar tenaga dan pembeli serantau baharu yang lain.

Hasil daripada kelonggaran fiskal kata Rystad, sebilangan besar pemain minyak dan gas melihat Asia Tenggara sebagai tonggak rancangan pengembangan portfolio mereka.

Katanya, dari segi jumlah sumber minyak dan gas yang ditawarkan, Indonesia mendahului dengan bahagian 50 peratus, diikuti Malaysia (24 peratus) dan Vietnam (20 peratus). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×