PETALING JAYA: Sebanyak lima syarikat pemula niaga diumumkan sebagai pemenang Program Pre-Accelerator MYStartup Kohort 2 melalui program MYStartup di Cradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle).
Syarikat pemula tersebut adalah, Acxyn, Boom Rocks, Certiify, IHX dan Ulalive.
Naib Presiden Kanan, Pembangunan Ekosistem Cradle, Ahmad Kashfi Alwi berkata, program tersebut direka secara eksklusif untuk syarikat pemula niaga baharu dan peringkat awal yang disasarkan untuk mencapai impak kepada pelanggan yang berkesan sambil membina dan mengesahkan idea dan model perniagaan.
Katanya, sejajar dengan usaha untuk menjadi salah satu ekosistem syarikat pemula terbaik di rantau ini, pihaknya akan terus membangunkan sistem sokongan terutamanya untuk syarikat pemula niaga yang baru memulakan perjalanan mereka.
“Peringkat ini merupakan langkah pertama yang paling penting, di mana syarikat pemula niaga memerlukan bimbingan yang paling banyak.
“Melalui program, syarikat permula peringkat awal tempatan akan mempunyai akses kepada pelbagai sumber yang tersedia, seperti mentor bertaraf dunia, bimbingan, peluang pembiayaan serta menyediakan mereka dengan semua bantuan yang mereka perlukan.
“Sambil kami memperkayakan lagi rangkaian syarikat permulaan di Malaysia, kami berharap sokongan ini akan menyediakan asas yang kukuh untuk memastikan kejayaan masa depan dan jangka hayat syarikat pemula niaga peringkat awal ini,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, sebanyak 38 syarikat pemula merentasi lapan industri berbeza iaitu EdTech, AgTech, Healthtech, Perkhidmatan Perniagaan Global, Fintech, FoodTech, Pembuatan dan Seni Digital telah dipilih untuk Program Pre-Accelerator MYStartup Kohort 2.
Jelasnya, sepanjang tempoh lima bulan antara Oktober 2022 hingga Februari 2023, syarikat ini diberi akses terus ke perpustakaan sumber permulaan MYStartup dan acara rangkaian eksklusif dengan kumpulan mentor tempatan dan antarabangsa MYStartup.
“Mereka juga mendapat jemputan dan lawatan berkumpulan ke hab inovasi, akses penyelidikan pasaran, serta saluran kepada peluang pembiayaan,” ujarnya.
Tambahnya, lima pemenang syarikat pemula niaga terbaik yang dipilih pada akhir program itu akan mengambil bahagian dalam Immersion Program Ekseklutif MYStartup Overseas Immersion.
Katanya, program tersebut membolehkan mereka berpeluang melibatkan diri dan berhubung dengan pemain utama lain dalam industri di peringkat antarabangsa. – UTUSAN










