PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sedang menilai dan memperincikan kaedah terbaik bagi melaksanakan penggunaan baki caruman dalam Akaun 2 ahli sebagai sokongan untuk membuat pinjaman peribadi daripada sistem perbankan.
Menurut kenyataannya, KWSP akan mempertimbangkan semua faktor yang relevan bagi memastikan pelaksanaan yang lancar.
“KWSP ambil maklum mengenai pengumuman terkini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai penggunaan baki caruman dalam Akaun 2 ahli sebagai sokongan untuk membuat pinjaman peribadi daripada sistem perbankan bagi mereka yang memerlukan bantuan tunai.
“Maklumat lanjut mengenai pelaksanaan kemudahan ini akan diumumkan oleh KWSP pada masa yang akan datang,” katanya di sini hari ini.
Dalam penggulungan usul Belanjawan 2023 semalam, Anwar berkata, kerajaan akan memperkenalkan kaedah yang membolehkan pencarum KWSP menggunakan wang caruman di agensi itu sebagai cagaran kepada bank bagi tujuan pembiayaan kewangan.
Katanya, kaedah itu boleh ditawarkan kepada mana-mana pencarum KWSP yang terdesak untuk mendapatkan pinjaman kewangan dengan cagaran daripada agensi itu. – UTUSAN










