KUALA LUMPUR: Cadangan membolehkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencagar simpanan mereka bagi membuat pinjaman bank perlu diperhalusi dan mempunyai ciri bersesuaian.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkata, meskipun bank pusat belum menerima butiran berkenaan cadangan tersebut, pihaknya menegaskan amat penting untuk ia mempunyai ciri dan perlindungan yang tepat.
“Butiran mengenai cagaran KWSP belum diperoleh lagi tetapi penting bagi skim berkenaan mempunyai ciri bersesuaian dalam memastikan peminjam mampu dan boleh membayar pinjaman daripada sumber pendapatan mereka.
“Selain itu, pada masa sama ia perlu memastikan mereka mempunyai simpanan KWSP yang mencukupi menjelang usia persaraan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena penerbitan Laporan Tahunan 2022, Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2022 serta Tinjauan Kestabilan Kewangan bagi Separuh Kedua 2022, di Sasana Kijang di sini, semalam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan kerajaan bercadang memperkenal kaedah membenarkan pencarum KWSP membuat pinjaman bank dengan menggunakan wang caruman di agensi itu sebagai kolateral atau cagaran kepada bank.
Menurut Anwar cadangan berkenaan hanya dibenarkan kepada individu yang benar-benar terdesak dan memerlukan wang selepas kerajaan kekal dengan keputusannya tidak membenarkan lagi pengeluaran wang KWSP sebelum tempoh yang dibenarkan.
Dalam pada itu, Nor Shamsiah berkata, penetapan Kadar Dasar Semalam (OPR) bergantung kepada keadaan ekonomi dalam dan global serta bagaimana ia memberi kesan kepada prospek pertumbuhan dan inflasi.
Katanya, bank pusat tidak mempunyai arah tuju (kadar OPR yang mahu dicapai) terutamanya dalam persekitaran ekonomi ketika ini.
“Jadi, kita perlu kekal tangkas dan menyesuaikan diri dengan sewajarnya. Kita harus mengambil kira kedua-dua risiko dalaman dan luaran.
“Tahun ini, kami mengunjurkan ekonomi berkembang antara empat hingga lima peratus. Oleh itu, risiko adalah seimbang untuk situasi tersebut sekarang. Dari segi kadar faedah, adalah sukar untuk katakan berapa jumlahnya kerana ekonomi berubah dengan pantas,” kata beliau.
Tegas Nor Shamsiah, dasar kewangan negara kekal menyokong kepada pertumbuhan ekonomi dan mengimbangi risiko inflasi domestik.
Menurutnya, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) terus memantau impak pelarasan OPR sebelum ini dalam ekonomi. – UTUSAN










