SINGAPURA: Harga emas terus meningkat di pasaran Asia selepas melonjak 2 peratus pada Jumaat, apabila pelabur berpusu-pusu mencari `perlindungan’ berikutan kejatuhan bank Amerika Syarikat (AS), Silicon Valley Bank.
`Pertaruhan’ dalam kalangan pelabur dan penganalisis bahawa Rizab Persekutuan (Fed) AS akan mengurangkan kenaikan kadar faedah, turut mendorong kenaikan harga logam berharga itu, lapor Bloomberg.
Kegagalan Silicon Valley Bank (SVB) yang merupakan kejatuhan kedua terbesar bank di AS dalam sejarah, telah mencetuskan kegelisahan mengenai kesannya merentasi sistem kewangan sehingga mendorong pegawai AS bertindak melindungi dana pendeposit pada Ahad.
Harga jongkong emas naik ke paras tertinggi sebulan dan logam asas melonjak lebih tinggi berbanding dolar. Hasil Perbendaharaan pula merosot berikutan spekulasi Fed akan memperlahankan kadar kenaikan kadar faedah.
Emas spot naik 0.9 peratus kepada $1,885.57 seaun setakat 11:06 pagi. Ia meningkat lebih 3 peratus sejak penutupan Rabu lalu apabila kebimbangan terhadap SVB semakin meningkat.
Indeks spot dolar Bloomberg pula merosot 0.9 peratus susulan kejatuhan 0.4 peratus pada Jumaat.
Ahli ekonomi di Goldman Sachs Group Inc. tidak lagi menjangkakan peningkatan kadar faedah daripada bank pusat itu pada mesyuaratnya bulan ini, memandangkan tekanan dalam sistem perbankan.
“Kebankrapan SVB pada Jumaat mencetuskan panik dalam pasaran, yang bukan sahaja memburukkan lagi penghindaran risiko, tetapi juga sangat merendahkan jangkaan pasaran untuk kenaikan kadar faedah,” tulis Jinrui Futures Co. dalam satu nota.
Data AS yang dikeluarkan lewat minggu lalu menggambarkan keadaan ekonomi yang bercampur-campur apabila Fed mempertimbangkan untuk meningkatkan kenaikan kadar faedah.
Angka inflasi yang akan dikeluarkan pada Selasa ini juga mungkin mempengaruhi keputusan Fed dalam menentukan langkah seterusnya.
Sementara itu, harga kuprum melonjak 0.8 peratus dan aluminium meningkat 0.2 peratus, manakala zink menokok 0.5 peratus daripada penutup terendah sejak November. Perak pula naik 1.3 peratus dan paladium meningkat 2.9 peratus. – AGENSI










