PETALING JAYA: Krisis kebankrapan bank di Amerika Syarikat (AS) merupakan suatu amaran buat kesemua institusi perbankan di negara ini dalam menghadapi cabaran ekonomi ketika ini.
Kerugian, ketidakstabilan serta tindakan sejumlah pelabur dan pengguna mengeluarkan simpanan dalam masa yang singkat bagi menyelamatkan wang masing-masing menjadi punca Silvergate Bank, Silicon Valley Bank (SVB) dan Signature Bank terpaksa ditutup.
Walaupun kesan krisis perbankan AS kepada negara dijangka hanya pada tahap minimum dan mendapat perlindungan sewajarnya, ini tidak bermakna ia tidak boleh berlaku di masa akan datang.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pensyarah kanan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM), Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob menjelaskan, bank di negara ini juga terdedah dengan risiko kebankrapan jika tidak mempunyai wang simpanan yang mencukupi atau tidak menguruskan wang dengan baik.
Katanya, risiko itu perlu ditangani dalam memastikan sentimen dan keyakinan terhadap bank kekal berada dalam keadaan stabil.
“Jika bank meluluskan pinjaman dengan banyak dan tiba-tiba ada yang tidak boleh bayar, ia juga satu risiko kepada bank. Sama juga apabila ramai pengguna mengeluarkan duit mereka dengan tiba-tiba, bank mungkin tak ada duit nak bayar balik duit mereka.
“Ini yang berlaku kepada bank-bank di AS, terutama apabila pelabur dan pemegang taruh yang mengeluarkan wang simpanan dan wang pelaburan mereka, sudah tentu ia akan menjejaskan bank dan juga ekonomi,” katanya ketika dihubungi.
Silvergate Bank bankrap selepas gagal membayar AS$8 bilion dolar wang simpanan yang mahu dikeluarkan oleh pengguna walaupun membuat penjualan aset dan membuat pinjaman dengan kerajaan.
SVB bankrap selepas kenaikan kadar faedah menyebabkan pelabur dan pengguna mengeluarkan wang simpanan mereka yang berjumlah AS$42 bilion dalam tempohhanya 48 jam manakala Bank Signature ditutup selepas kehilangan lebih AS$20 bilion dolar.
Justeru, Abu Sofian menyifatkan, kestabilan bank adalah penting bagi mengelakkan perkara yang sama berlaku pada bank di negara ini, walaupun wang simpanan pengguna mendapat perlindungan daripada Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM).
“Bank Negara perlu memainkan peranan dalam mengawal dan memantau situasi bank-bank di negara ini, malah pihak bank perlu memastikan pengguna hanya dibenarkan untuk mengeluarkan amaun yang tertentu dalam tempoh tertentu.
“Kita mengharapkan apa yang berlaku di AS tidak berlaku di negara ini, tetapi kita tidak boleh sekali-kali mengambil mudah kerana ia melibatkan kesan kepada ekonomi negara,” katanya. – UTUSAN










