KUALA LUMPUR: Kerajaan menyediakan dana permulaan berjumlah RM10 juta sebagai permintaan terjamin kepada kredit karbon janaan Malaysia bagi memulakan pasaran, sejajar dengan sasaran mencapai sifar bersih seawal 2050.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, fokus yang boleh dipertingkatkan dalam pelaburan bidang pertumbuhan hijau termasuk teknologi hidrogen, biotenaga dan mobiliti elektrik.
Katanya, perkara tersebut akan menjadi pemboleh penggunaan hijau merentas sektor serta enjin ekonomi masa depan.
“Bahagian utama yang boleh diberi penekanan dalam bidang ini ialah memastikan rakyat juga mendapat manfaat daripada pemindahan pengetahuan dan kemahiran berteknologi tinggi, sambil mengutamakan usaha penyelidikan dan pembangunan.
“Ia adalah salah satu bidang untuk pembangunan lanjut Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang direka semula untuk penyertaan sektor swasta yang lebih besar, manakala dalam akademik konvensional pula kemas kini tentang sukatan pelajaran universiti sedang dibangunkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama program Invest Malaysia di Hotel St Regis di sini, hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, kerajaan komited untuk meningkatkan lagi ekosistem kewangan Islam supaya dapat memacu perubahan masyarakat yang sebenar, terutamanya melalui pengoptimuman wakaf.
Sehubungan itu, Anwar berkata, Suruhanjaya Sekuriti (SC) akan melanjutkan Rangka Kerja Dana Bercirikan Wakaf untuk memasukkan Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) Islamik dan Dana Dagangan Bursa (ETF) Islamik berkuat kuasa 3 April 2023.
Dalam pada itu, beliau berkata, Bursa Malaysia berfungsi sebagai saluran penting bagi syarikat untuk mendapatkan modal bagi pertumbuhan melalui pasaran utama.
“Dengan keperluan yang semakin meningkat untuk syarikat meningkatkan perniagaan mereka, SC bersama Bursa Malaysia akan memperkenalkan Rangka Kerja Pemindahan Pasaran LEAP untuk syarikat berhijrah dari Pasaran LEAP ke Pasaran ACE.
“Pada masa yang sama, Bursa Malaysia akan memperkenalkan Rangka Kerja Penasihat Diiktiraf baharu yang akan mengembangkan kumpulan penasihat untuk Pasaran ACE,” ujarnya. – UTUSAN










