PETALING JAYA: KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare) melalui anak syarikatnya, Crossborder Aim (M) Sdn. Bhd. (CAMSB) dan Crossborder Hall (M) Sdn. Bhd. (CHMSB) telah memeterai Perjanjian Jualan Saham (SSA) dengan PT Nusautama Medicalindo (PTNM) untuk pelupusan operasi hospital Rumah Sakit Medika BSD (RSMBSD) di Indonesia.
Cadangan Pelupusan tersebut melibatkan penjualan 75 peratus kepentingan Kumpulan dalam syarikat pengurusan hospitalnya iaitu PT KPJ Medica (KPJM), serta penjualan CAMSB dan 100 peratus pegangan tanah dan bangunan hospital oleh CHMSB dalam PT Al-Aqar Bumi Serpong Damai (AABSD) kepada PTNM untuk jumlah berdasarkan nilai perusahaan sebanyak RM150.2 juta.
SSA itu dijangka dimuktamadkan pada suku kedua 2023.
Pegawai Pimpinan (OIC) KPJ Healthcare, Norhaizam Mohammad berkata, seperti yang digariskan dalam pelan strategik Kumpulan, KPJ Healthcare akan melupuskan perniagaan Indonesia sebagai sebahagian daripada usaha rasionalisasi asetnya.
“Ini menandakan operasi KPJ Healthcare di pasaran Indonesia tamat sepenuhnya sebagai pemilik dan pengendali hospital.
“Kami berharap dapat memanfaatkan hasil daripada penjualan ini untuk mengukuhkan kedudukan kami dalam sektor penjagaan kesihatan. Tumpuan kami untuk meningkatkan kecekapan operasi dan mengembangkan perniagaan teras kami di dalam negara, dan ia adalah sejajar dengan objektif ini,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, Kumpulan mempergiatkan penerokaan peluang baharu di pasaran lain untuk mengukuhkan pertumbuhan.
“Menjelang 2023 dan seterusnya, saya yakin kami akan terus memberikan nilai yang mampan untuk pemegang berkepentingan syarikat,” katanya.
Awal tahun ini, Kumpulan telah menamatkan operasinya di hospital Rumah Sakit Medika Permata Hijau, di mana proses itu akan dimuktamadkan pada suku kedua 2023. – UTUSAN










