Korea Selatan dijangka hentikan kenaikan faedah - Utusan Malaysia

Korea Selatan dijangka hentikan kenaikan faedah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOREA: Inflasi pengguna Korea Selatan untuk Februari mencecah kadar paling perlahan dalam tempoh 10 bulan, menguatkan pandangan bahawa bank pusat itu telah selesai dengan kitaran pengetatan dasar semasanya selepas ia mengekalkan kadar stabil bulan lepas.

Ekonomi keempat terbesar di Asia itu sedang terumbang-ambing menghampiri kemelesetan dan penggubal dasar akan berhati-hati terhadap ketegangan yang berlebihan dalam menghadapi kelembapan pertumbuhan global dan permintaan luar negara untuk eksport utamanya seperti cip dan elektronik pengguna.

Indeks harga pengguna meningkat 4.8 peratus pada Februari berbanding tahun sebelumnya, susut daripada 5.2 peratus pada Januari. Ia berada di bawah 5.1 peratus yang diramalkan dalam tinjauan Reuters dan juga merupakan kadar terendah sejak April 2022.

Penganalisis pendapatan tetap di Shinhan Securities, Ahn Jae-kyun berkata, kadar kenaikan harga perkhidmatan swasta perlahan adalah perkara yang positif.

“Ia mengurangkan kemungkinan kenaikan kadar tambahan oleh bank pusat, sekurang-kurangnya di bahagian domestik,” katanya.

Inflasi teras tahunan, yang mengecualikan harga makanan dan tenaga yang tidak menentu, turun kepada 4.0 peratus daripada 4.1 peratus sebulan sebelumnya, dan mencecah paras terendah sejak Ogos, sekali gus mencadangkan tekanan harga yang lebih rendah.

Bank Korea berkata, data Februari datang seperti yang dijangkakan dan kadar inflasi akan jatuh dengan ketara pada Mac dan terus mereda tahun ini, tetapi masih berada di atas sasaran 2.0 peratus jangka pertengahannya.

Bank tersebut mengekalkan kadar faedahbulan lepas, selepas setahun kenaikan dan menegaskan kempen mengetatkan monetari tidak akan disambung jika inflasi mengikut laluan yang dijangkakan ke arah penyederhanaan.

Data yang dikeluarkan minggu lalu menunjukkan Korea Selatan mungkin menuju kemelesetan, dengan eksport yang lemah dan jualan runcit domestik yang berterusan, selepas penguncupan 0.4 peratus pada suku lepas.

Mengikut kategori produk, harga produk ternakan turun 3.2 peratus daripada bulan sebelumnya dan produk petroleum merosot 1.3 peratus, mengheret kadar inflasi lebih rendah.

Indeks inflasi meningkat 0.3 peratus pada asas bulanan, berbanding 0.8 peratus pada bulan sebelumnya dan 0.5 peratus yang dijangka oleh pakar ekonomi.

Menteri Kewangan, Choo Kyung-ho secara berasingan berkata, kelembapan inflasi akan menjadi lebih jelas dalam beberapa bulan akan datang, melainkan terdapat kejutan luaran. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.