PETALING JAYA: Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (Koop Sahabat) Berhad, menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Marriott International dan Hospital Islam Az Zaharah bagi cadangan
projek pembangunan hartanah resort hotel dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM250 juta.
Projek itu terletak di Pantai Chenang, Langkawi dan Pusat Penjagaan Kesihatan (Ambulatory Care Centre) di Kuantan, Pahang, dijangka beroperasi pada 2024 dan 2026.
Menerusi perjanjian tersebut Koop Sahabat melantik Marriott International sebagai operator pengendali hotel dengan kapasiti bilik sebanyak 300 unit di atas tanah milik kumpulan Koop Sahabat di Pulau Langkawi dengan
menggunakan jenama Fairfield By Marriott.
Manakala Pusat Penjagaan Kesihatan Ambulatory Care Centre akan dikendalikan oleh Hospital Islam Az Zahrah, bakal menyediakan perkhidmatan perundingan, rawatan, atau intervensi penjagaan kesihatan menggunakan
teknologi terkini perubatan.
“Pusat perubatan ini juga akan dilengkapi dengan fasiliti rehabilitasi perubatan dan vokasional, oncology suites, assisted living, hemodialisis, pengimejan diagnostik, confinement suites, wellness spa dan
beberapa lagi fasiliti sokongan perubatan,” katanya dalam kenyataan.
Pengerusi Lembaga Koop Sahabat, Mohd. Najib Mohd. Noor berkata, kedua-dua projek itu mampu merancakkan aktiviti pembangunan hartanah dan pembinaan selaras dengan perancangan strategik yang telah dirangka pihak koperasi.
Kata beliau, Koop Sahabat juga yakin dengan pembangunan hartanah yang tidak hanya tertumpu kepada pembangunan perumahan, sebaliknya penumpuan harus diberikan kepada pembangunan secara Built To Suit di mana mampu membantu pihak kerajaan menyediakan kemudahan asas seperti hospital, pusat pendidikan dan sebagainya.
“Koop Sahabat yang juga merupakan kontraktor yang berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) akan cuba untuk memainkan peranan di dalam membantu pihak kerajaan membina infrastruktur asas di negara ini,” katanya.
MoU disempurnakan oleh Mohd. Najib bersama Pengarah Kanan, Pembangunan Hotel Asia Pasifik, Marriott International, Andree Susilo dan wakil Hospital Islam Az Zahrah, Ali Karimi Abd. Rahman. Majlis disaksikan oleh Naib Pengerusi Eksekutif (Operasi danKawal Selia) Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Siti Azlin Ahmad Dauta.
Dalam majlis yang sama, Koop Sahabat telah dinobatkan sebagai koperasi ke-7 terbaik peringkat kebangsaan dalam profil 100 koperasi terbaik Malaysia pada 2022 oleh SKM. – UTUSAN










