Kerajaan komited sokong syarikat pemula tempatan

Kerajaan komited sokong syarikat pemula tempatan disenarai di Bursa Malaysia

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan perpaduan komited dalam menyokong syarikat pemula tempatan bernilai tambah tinggi dari peringkat awal sehingga penyenaraian ke Bursa Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau berpeluang bertemu dengan beberapa syarikat pemula tempatan yang berjaya seperti Carsome, Oppstar dan Farm Fresh.

Beliau berkata, kerajaan mahu memastikan syarikat pemula yang berjaya mendapat akses kepada pembiayaan peringkat seterusnya di Malaysia, supaya mereka tidak perlu mencari penyenaraian di luar negara.

Jelasnya, bagi menyokong usaha ini, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) akan memperuntukkan sebanyak RM1.5 bilion pada 2023 untuk melabur dalam syarikat pemula tempatan.

“Selain itu, kerajaan juga akan menyediakan potongan cukai ke atas kos penyenaraian untuk penyenaraian syarikat di Pasaran ACE, LEAP serta saham teknologi ke Pasaran Utama.

“Syarikat tersenarai juga  akan dibenarkan menerbitkan saham dwi kelas,” katanya dalam ucaptama program Invest Malaysia di Hotel St Regis Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, Belanjawan Madani direka bentuk untuk menangani cabaran ini melalui pembaharuan fiskal, membina semula penampan fiskal dan daya tahan ekonomi, fiskal dan hutang.

“Apa yang telah kami lakukan, sebagai langkah pertama yang praktikal dan pragmatik adalah untuk mengekalkan tahap perbelanjaan keseluruhan.

“Walau bagaimanapun, peruntukan telah diselaraskan semula secara strategik untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada negara dan membina semula teras kritikal dan aspirasi masyarakat Malaysia secara amnya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN