PETALING JAYA: Penganalisis ekonomi melihat keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus akan membantu ekonomi domestik berkembang pesat.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pengekalan itu juga memberi kelegaan kepada Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS), golongan B40 dan M40.
Sebaliknya kata beliau, jika kadar faedah pinjaman tinggi, permintaan terhadap industri permotoran dan perumahan dijangka berkembang perlahan.
“Apa yang lebih penting adalah kos pinjaman yang kekal stabil membantu sektor perniagaan untuk terus melabur dan membuat pinjaman bagi mengembangkan aktiviti perniagaan masing-masing.
“Ini penting kerana pelaburan daripada perniagaan tempatan ke dalam ekonomi negara adalah sangat mustahak, seiring pelaburan langsung asing (FDI),” katanya.
Dalam pada itu, Aimi Zulhazmi berkata, khabar angin yang mengatakan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) tetap akan menaikkan kadar faedah antara 0.25 hingga 0.50 peratus turut memberi kesan negatif kepada ringgit.
“Nilai ringgit yang telah mencecah RM4.20 pada akhir tahun lalu kini kembali melemah pada RM4.52 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), disebabkan oleh khabar angin berkenaan.
“Bagaimanapun, pengekalan OPR dijangka akan menurunkan sedikit nilai ringgit berbanding dolar AS. Tetapi, sekiranya OPR dinaikkan, nilai ringgit tetap akan merosot kerana reaksi terhadap keputusan Fed menaikkan kadar faedah,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Rasidah Mohd. Rashid berkata, pengekalan OPR membantu menyokong pertumbuhan dan kestabilan ekonomi negara.
Malah katanya, langkah BNM itu juga boleh menggalakkan peminjaman dan perbelanjaan, yang boleh membantu meningkatkan aktiviti ekonomi dan menyokong pekerjaan.
“Ia juga boleh mengekalkan kestabilan harga yang boleh membantu menambat inflasi.
“Jika ekonomi berkembang dengan kukuh dan inflasi meningkat melebihi julat sasaran, MPC mungkin boleh memutuskan untuk meningkatkan OPR untuk membendung tekanan inflasi,” katanya.
Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM membuat keputusan untuk mengekalkan OPR pada 2.75 peratus dengan pendirian dasar monetari kekal akomodatif dan menyokong pertumbuhan ekonomi.
BNM berkata, MPC akan terus menilai kesan pelarasan OPR secara kumulatif memandangkan kesan sela masa (lag effect) dasar monetari terhadap ekonomi. – UTUSAN










