KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) komited bersama-sama kerajaan dalam mencapai pelepasan karbon sifar dengan memperuntukkan 20 peratus belanjawan tahunan dalam pelaburan hijau tersebut setiap tahun.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, jumlah tersebut boleh mencapai sehingga RM12 bilion ke RM15 bilion setahun.
Ujarnya, Petronas sedar terdapat kebimbangan yang semakin meningkat mengenai keselamatan tenaga global yang menjurus kepada pelaburan tenaga bersih.
“Kita tidak boleh terlepas daripada memperkatakan mengenai pelepasan karbon sifar bersih. Setakat ini, lebih 90 peratus syarikat berkaitan kerajaan komited terhadap sasaran Pelepasan Karbon Sifar Bersih menjelang 2050 (NZCE 2050).
“Tahun lepas sahaja, pelaburan global dalam teknologi peralihan tenaga melepasi AS$1 trilion buat kali pertama. Jumlah itu hampir sama dengan pelaburan bahan api fosil,” katanya dalam sidang akhbar selepas pengumuman keputusan kewangan Petronas untuk tahun 2022, semalam.
Bagaimanapun, beliau menegaskan, ketika ini, dunia masih belum mempunyai sistem alternatif yang mudah untuk menghadapi tuntutan peralihan ini.
“Syarikat seperti Petronas tidak boleh membuat keputusan mutlak yang drastik melainkan anda semua bersedia untuk menghadapi laluan yang tidak adil, huru-hara dan berpotensi merosakkan.
“Lebih-lebih lagi bagi negara seperti Malaysia yang merupakan negara jiran serantau, dengan banyak pasaran lain masih sangat bergantung kepada minyak dan gas,” ujarnya.
Sementara itu, mengulas mengenai tuntutan waris kumpulan Sulu tahun lalu, beliau berkata, kes tuntutan tersebut dibuat terhadap kerajaan Malaysia adalah tidak berasas dan akan terus mempertahankan kedudukannya di sisi undang-undang.
“Kami mempunyai lembaga pengarah bebas, dan kami bertindak setiap hari di bawah pengurusan profesional dalam tadbir urus kami sendiri.
“Justeru, kami menilai semula pada mana-mana tuntutan sedemikian bukan aset atau asas dan kami akan tetap mempertahankannya,” ujarnya. – UTUSAN










