PETALING JAYA: Jumlah volum industri (TIV) sektor kereta dan alat ganti kereta dijangka lebih kukuh pada Mac 2023, memandangkan ini bulan terakhir bagi pembuat kereta menghantar pesanan yang dikecualikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
RHB Investment Bank Berhad (RHB IB) berkata, walaupun TIV April mungkin akan berkurang bulan ke bulan, namun ia sepatutnya kekal kukuh, kerana pembuat kereta terus menyampaikan pesanan pelanggan, yang masih sihat walaupun tanpa pengecualian SST.
“Dengan pesanan yang kukuh dan kekangan rantaian bekalan telah diselesaikan, kami berpendapat syarikat kereta mempunyai keterlihatan pendapatan untuk 2023.
“Memandangkan kos input berkemungkinan akan kekal stabil dari paras suku keempat 2022, dan secara beransur-ansur menurun (dengan kejatuhan kos bahan mentah dan kekurangan kesesakan bekalan), pesanan harus diterjemahkan kepada penghantaran dan pendapatan,” katanya dalam nota kajian.
Justeru, bank pelaburan itu mengekalkan saranan “overweight ” ke atas sektor itu, dengan pilihan utama termasuk Bermaz Auto Berhad dan UMW Holdings Berhad.
Risiko utama kepada saranan itu termasuk pesanan dan penghantaran yang lebih sedikit daripada jangkaan, dan kebangkitan semula isu rantaian bekalan.
Sementara itu, dalam nota berasingan, Kenanga Research berkata, TIV sebanyak 112,128 unit dalam dua bulan pertama 2023 adalah dalam jangkaan pada 16 peratus daripada unjuran tahun penuhnya sebanyak 720,000 unit.
Katanya, TIV disokong oleh penghantaran pesanan tertunggak yang kukuh pada Februari, kerana hari bekerja meningkat berbanding bulan sebelumnya, disebabkan cuti Tahun Baharu Cina.
Selain itu, jelasnya, tempahan baharu kekal kukuh berikutan pelancaran baharu, terutamanya Axia serba baharu, yang memperoleh 27,000 unit dalam tempahan baharu.
Unjurannya melihat TIV untuk 2023 akan dikekalkan pada paras rekod 2022 iaitu 720,000 unit, berbanding ramalan yang lebih konservatif sebanyak 650,000 (-9.8 peratus) oleh Persatuan Automotif Malaysia.
“Ini akan disokong oleh hentian sementara dalam kenaikan kadar polisi semalaman dan harga kereta baharu yang stabil, hasil penangguhan peraturan duti eksais baharu yang boleh menyebabkan harga kenderaan pemasangan tempatan meningkat 8.0 peratus hingga 20 peratus, dan tempahan industri tertunggak yang sihat sebanyak 350,000 unit pada akhir Februari 2023,” kata firma penyelidikan itu.
Syarikat penyelidikan itu juga mengekalkan saranan “overweight” untuk sektor itu, dengan pilihan utama termasuk MBM Resources Berhad dan UMW. – UTUSAN










