Johor rekod pelaburan RM70.6 bilion

Johor rekod pelaburan RM70.6 bilion

ONN Hafiz Ghazi menerima kunjungan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz di pejabatnya di Kota Iskandar, Iskandar Puteri, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Johor merekodkan pelaburan langsung asing (FDI) tertinggi dalam negara bagi tahun 2022, iaitu sebanyak RM70.6 bilion.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kemasukan pelaburan tersebut akan menghasilkan lebih 12,000 peluang pekerjaan dan perniagaan kepada penduduk negeri ini.

Justeru, beliau mengucap terima kasih atas kerja keras agensi kerajaan negeri dan Pusat yang berjaya menghasilkan kejayaan tersebut.

“Syukur alhamdulillah, Johor mencatatkan penerimaan FDI tertinggi dalam negara bagi tahun 2022, iaitu sebanyak RM70.6 bilion.

“Pelaburan-pelaburan ini pula akan menghasilkan lebih 12,000 peluang pekerjaan dan perniagaan kepada rakyat Johor dan Malaysia,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Onn Hafiz turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Lee Ting Han atas kejayaan tersebut.

“Tidak dilupakan juga kepada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Invest Johor serta semua agensi lain di peringkat Persekutuan dan negeri yang sentiasa memberi sokongan kepada kerajaan negeri,” katanya sambil menegaskan kerajaan negeri komited dalam memastikan Johor terus menjadi destinasi pelaburan utama di rantau ini.

Pada 2022, Johor merekodkan jumlah pelaburan tertinggi, diikuti Selangor dengan RM60.1 bilion, Sarawak (RM28.2 bilion), Kuala Lumpur (RM25 bilion) dan Pulau Pinang (RM16.3 bilion). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN