JAKARTA: Indonesia menawarkan lebih banyak potongan cukai dan syarat yang lebih longgar untuk pengambilan tanah bagi menarik lebih ramai pelabur ke Nusantara.
Menurut laporan Bloomberg, Indonesia mahu menarik lebih ramai pelabur untuk menjayakan projek ibu kota baharunya itu yang dianggarkan bernilai kira-kira AS$34 bilion (RM153.8 bilion).
Peraturan baharu itu menawarkan potongan cukai korporat untuk pelaburan sekurang-kurangnya 10 bilion rupiah (AS$650,745 (RM2.92 juta) dan cukai pendapatan yang lebih rendah untuk individu yang bekerja di Nusantara.
“Faedah lain yang ditawarkan ialah tempoh (pengecualian cukai) maksimum 30 tahun dan peraturan berkuat kuasa serta merta,” katanya, memetik kenyataan kerajaan kelmarin.
Indonesia dilaporkan sedang ‘memburu’ pelabur untuk membantu merealisasikan visi Presiden Joko Widodo (Jokowi) untuk membina sebuah bandar raya yang dikuasakan sepenuhnya oleh teknologi tinggi.
Laporan menyebut, hanya 20 peratus daripada kos pembangunan projek itu akan menggunakan dana negara.
Projek pembangunan Nusantara bermula secara rasmi pada Mac lalu, apabila Jokowi bersama 34 gabenor dari seluruh Indonesia mengikuti upacara ‘kendi Nusantara’ di lokasi pembangunan ibu kota baharu itu di Kalimantan Timur.
Upacara itu menyaksikan semua gabenor membawa tanah dan air dari wilayah masing-masing dan kemudiannya dituangkan dalam satu bekas besar sebagai simbolik penyatuan Indonesia di Nusantara, sekali gus merasmikan projek pembangunan berkenaan.
Jokowi sebelum ini menegaskan, pembangunan ibu kota negara Nusantara di Kalimantan Timur adalah sebahagian usaha untuk menyeimbangkan ekonomi negara dan populasi penduduk. – AGENSI










