JAKARTA: Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) pada Rabu melancarkan pembinaan loji kuasa hidro bernilai AS$2.6 bilion (RM11.65 bilion) yang dikaitkan dengan rancangan taman perindustrian di Kalimantan Utara.
Loji janakuasa itu dipanggil Mentarang Induk, sedang dibangunkan oleh PT Kayan Hydropower Nusantara, sebuah usaha sama antara syarikat Indonesia PT Adaro Energy Indonesia dan PT Kayan Patria Pratama Group, serta Sarawak Energy Bhd. dari Malaysia, lapor Reuters.
Loji berkapasiti 1.375 gigawatt itu akan dihubungkan dengan kawasan perindustrian yang dikatakan Jokowi akan menempatkan loji kenderaan elektrik dan bateri, serta kemudahan aluminium dan petrokimia.
Beliau berkata, projek kuasa hidro itu dijangka siap dalam tempoh tujuh tahun bagi menjana kuasa taman yang dirancang.
“Harapan kami ialah transformasi ekonomi Indonesia benar-benar berlaku ke arah ekonomi hijau,” kata Jokowi, pada majlis pecah tanah yang disiarkan dalam talian.
Indonesia ialah pengeluar arang batu terma utama dan bergantung kepada arang batu sebagai sumber kuasa utamanya. Negara itu bagaimanapun telah berjanji untuk mengurangkan penggantungan kepada sumber berkenaan bagi mencapai pelepasan sifar bersih sebelum 2060.
Negara itu, yang merupakan satu daripada pelepas gas rumah hijau terbesar di dunia, menyasarkan untuk meningkatkan perkadaran tenaga boleh diperbaharui (RE) dalam campuran tenaganya kepada 23 peratus menjelang 2025, meningkat daripada sekitar 12 peratus pada masa ini.
Walaupun kurang intensif pelepasan berbanding arang batu, ahli alam sekitar bersetuju bahawa empangan juga boleh menyebabkan isu seperti gangguan aliran air, aliran sedimen dan ekosistem. – AGENSI










