Indeks harga bahan binaan meningkat

Indeks harga bahan binaan meningkat

PEMULIHAN ekonomi menyebabkan permintaan terhadap bahan binaan meningkat, mendorong kenaikan harga di pasaran. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Indeks harga seunit bahan binaan meningkat antara 1.5 hingga 9.6 peratus pada Februari lalu berbanding tempoh yang sama 2022, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, perbandingan bulan ke bulan mengikut bahan binaan dan kawasan terpilih menunjukkan peningkatan indeks harga seunit bagi beberapa bahan se­perti simen, besi dan kayu untuk semua kawasan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Kata beliau, pada Februari lalu, indeks harga seunit besi meningkat 1.5 peratus berban­ding Januari, manakala simen meningkat 1.9 peratus daripada bulan sebelumnya.

Beliau berkata, peningkatan harga besi seiring dengan kenaikan harga bijih besi dan besi utama di peringkat global, terutama China.

Malah katanya, World Steel Association melalui Short Range Outlook (SRO) for 2022 and 2023menyatakan permintaan besi pada 2023 dijangka merekodkan pertumbuhan sebanyak 2.2 peratus.

“Tambahan pula, The Global Steel Outlook 2023 diterbitkan oleh Fitch Ratings menjangkakan pertumbuhan tambahan dalam penggunaan keluli pada 2023 dalam pasaran seperti India, Asia Tenggara dan Amerika Syarikat,” katanya dalam kenyataan.

Mohd. Uzir berkata, selain besi, simen merupakan elemen penting dalam industri pembinaan yang dihasilkan menggunakan campuran batu kapur dan tanah liat, turut mencatatkan kenaikan harga.

Antara penyumbang utama kenaikan harga bagi pasaran simen adalah peningkatan kos pengeluaran seperti bahan mentah iaitu batu kapur, arang batu dalam proses pembakaran, tenaga dan kos penghantaran.

Ketua Perangkawan turut menyatakan, purata harga se­unit besi terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan Mycon 60 high tensile deformed bars adalah RM3,653.26 bagi setiap tan metrik, meningkat 1.5 peratus berbanding Januari (RM3,599.37 per tan metrik).

“Purata harga simen (Ordinary Portland) turut mencatatkan peningkatan 1.5 peratus iaitu RM21.99/ 50 kg berbanding RM21.66/ 50 kg (Januari 2023).

“Selain itu, Indeks Kos Binaan (tanpa bar keluli & termasuk bar keluli) bagi semua kawasan di Semenanjung Malaysia merekodkan peningkatan di antara 0.3 dan 4.1 peratus pada Februari 2023 berbanding bulan sebelumnya. Peningkatan indeks tertinggi adalah Cerucuk Kayu,” tambah beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN