SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor melancarkan Pembangunan Serantau Bersepadu Selatan Selangor (IDRISS) dalam usaha mempromosi negeri itu sebagai hab pelaburan dan perdagangan di rantau ini.
IDRISS merupakan antara agenda yang terkandung di dalam Rancangan Selangor Pertama di bawah teras ekonomi khusus bagi pembangunan di Daerah Sepang dan Kuala Langat.
Dijana menerusi pembangunan pelaburan swasta secara bersepadu dan dilengkapi dengan kemudahan oleh kerajaan negeri.
Pembangunan ini turut disokong dengan insentif daripada kerajaan negeri dan Persekutuan. IDRISS merangkumi anggaran jumlah keluasan 40,000 ekar (20,000 hektar) dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM1 trilion.
Projek pembangunan yang telah dicadangkan di bawah IDRISS merangkumi sektor perindustrian, perkhidmatan logistik, pergudangan, pelabuhan, perniagaan, perumahan, pelancongan dan pendidikan.
Antaranya, Selangor Business Capital, Selangor International Aeropark, Sepang Gold Coast Global Village, Unisel Global Campus, NCT Smart Industrial Park, Pelabuhan Pulau Carey dan Zon Ekonomi Khas Pulau Carey
Lima insentif rangsangan telah diperkenalkan untuk memacu pembangunan IDRISS iaitu Skim premium khas, bayaran ansuran caj pemajuan tanpa faedah, pengecualian cukai taksiran tanah kosong, potongan 50 peratus cukai taksiran bangunan kosong dan pengecualian bayaran lesen perniagaan.
Kerajaan negeri turut melancarkan Pembangunan Taman Perindustrian berkonsepkan Managed Industrial Park (MIP) bersempena dengan Selangor International Business Summit 2021 (SIBS).
Pelancaran kedua-dua projek dilaksanakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amiruddin Shari. Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Haris Kasim dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perdagangan, Perindustrian, Industri Kecil dan Sederhana negeri, Datuk Teng Chang Khim.
Dalam ucapannya, Amiruddin berkata, insentif bagi pembangunan IDRISS dan MIP merupakan langkah yang tepat untuk dilaksanakan sebagai galakan kepada pemaju atau pemilik hartanah membangunkan hartanah mereka serta mengaktifkan semula pertumbuhan ekonomi negeri.
“Ianya juga secara langsung dapat menarik minat pemaju hartanah untuk mempercepatkan aktiviti pembangunan dengan membantu mengurangkan bebanan kos awalan pembangunan bagi sesuatu projek tersebut,” katanya. – UTUSAN










