PETALING JAYA: Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kini boleh memindahkan dua peratus daripada caruman bulanan mereka kepada akaun isteri melalui kemudahan i-Sayang.
Di bawah kemudahan itu, setiap bulan para suami akan mencarum sebanyak sembilan peratus, dengan baki dua peratus lagi dipindahkan kepada akaun isteri mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata kemudahan terbaharu itu adalah hasil kerjasama KWSP dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
“Kemudahan i-Sayang adalah sebahagian daripada usaha berterusan KWSP untuk memperluaskan jaringan keselamatan sosial kepada institusi kekeluargaan.
“Ia juga akan menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia yang tidak mempunyai perlindungan skim keselamatan sosial formal untuk menabung demi masa depan persaraan mereka.
“Dengan membolehkan suami mencarum secara sukarela sebanyak dua peratus caruman bulanan, ia memberikan peluang kepada isteri untuk mempunyai simpanan jangka masa panjang di samping mendapat akses kepada keselamatan sosial dan kewangan yang berkualiti sepertimana yang dinikmati oleh ahli KWSP,” katanya dalam kenyataan.
i-Sayang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2023 di sini, hari ini.
Difahamkan, kira-kira 2.4 juta suri rumah Malaysia tidak bekerja atau berada di luar sektor tenaga buruh, dan tidak mempunyai sebarang bentuk keselamatan sosial, menjadikan mereka lebih rentan terhadap kesulitan dan kejutan kewangan.
Menurut KWSP, inisiatif itu selaras dengan komitmen kerajaan dalam memperkasakan hak dan menjaga kebajikan wanita serta menerapkan nilai kekeluargaan selaras dengan konsep Malaysia MADANI yang berteraskan ciri keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.
Permohonan i-Sayang boleh dilakukan secara dalam talian melalui i-Akaun KWSP (Ahli), Self-Service Terminal (SST) KWSP, atau di mana-mana cawangan seluruh negara.
Maklumat lanjut mengenai i-Sayang boleh didapati di laman sesawang KWSP di www.kwsp.gov.my, atau hubungi Pusat Pengurusan Pelanggan KWSP di 03-8922 6000. – UTUSAN










