PETALING JAYA: Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) telah memperuntukkan sebanyak RM360,000 untuk membangunkan jenama He & She Coffee ke arah francais.
Peruntukan disalurkan melalui Program Be Your Own Boss (BYOB) dan Projek Excelerator masing-masing berjumlah RM300,000 dan RM60,000.
Jenama itu kini telah didaftarkan di Malaysia Franchise Express (MyFEX), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan dijangka mencapai status francais pada Julai tahun ini.
Pengerusi Pernas, Datuk Hazimah Zainuddin berkata, program-program Pernas seperti Projek Xcelerator bertujuan meningkatkan bilangan penglibatan usahawan siswa-siswi dan gradúan dalam keusahawanan francais.
“Sejak diperkenalkan pada 2021, sebanyak 34 jenama telah terlibat dalam Projek Xcelerator,” katanya pada majlis pelancaran cawangan ke-30 He & She di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) Gombak.
Turut hadir, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif He & She Coffee, Zulkiflee Yusof dan Alumni UIAM dan Lisensi He & She Coffee UIAM Gombak, Datuk Mohd. Irwan Mohd. Mubarak.
He & She Coffee merupakan jenama kopi kampus menawarkan pakej pra-francais mampu milik serendah RM250,000 sehingga RM580,000.
Jenama itu kini memiliki 30 cawangan di seluruh Malaysia dan bakal membuka lima cawangan baharu pada tahun ini.
Jenama itu menyasarkan 50 cawangan kampus di IPTA dan IPTS seluruh Malaysia dalam tempoh lima tahun.
Menurut Hazimah, budaya minum kopi yang semakin meluas dalam kalangan masyarakat negara ini perlu diteliti secara kritis.
“Usahawan perlu bijak mengambil peluang dan melihat senario ini sebagai peluang yang baik sekali gus merancakkan lagi industri F&B kopi negara,” katanya. – UTUSAN










