Harga rumah dijangka meningkat

Harga rumah dijangka meningkat

PASARAN hartanah negara dijangka lebih stabil tahun ini dan pertumbuhan sektor tersebut bukan hanya dilihat daripada peningkatan volum semata-mata. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Indeks harga rumah di negara ini dijangka meningkat sebanyak tiga hingga tujuh peratus tahun ini, menurut laporan Juwai IQI.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kashif Ansari berkata, indeks harga rumah Malaysia meningkat 2.2 peratus pada 2022 dan melihat kepada prospek tahun ini, pihaknya mengambil pendekatan berhati-hati untuk meramalkan perubahan harga.

“Harga rumah teres dijangka meningkat sebanyak 3.7 peratus, diikuti harga rumah bertingkat tinggi pada 3.4 peratus dan rumah berkembar pada 2.9 peratus.

“Sementara itu, indeks harga rumah di Kuala Lumpur turun sedikit sebanyak 0.2 peratus, manakala negeri besar lain termasuk Selangor naik 3.4 peratus, Johor (2.2 peratus) dan Pulau Pinang (3.2 peratus).

Bagaimanapun, beliau berkata, permintaan untuk rumah mampu milik kekal kukuh, yang boleh mendorong transaksi aktiviti dalam julat sub-harga RM300,000 hingga suku pertama 2024.

Ujarnya, tahun lalu, pasaran kediaman menuju ke arah pemulihan pasca-pandemik apabila pembeli menyelesaikan 243,190 transaksi bernilai RM94.28 bilion, meningkat sebanyak 22.3 peratus dalam jumlah dan 22.6 peratus dalam nilai tahun ke tahun.

“Unit kondominium dan apartmen mendominasi pelancaran baharu, menguasai 45 peratus daripada jumlah keseluruhan, diikuti dengan rumah teres sebanyak 42.2 peratus.

“Walaupun sukar untuk meramalkan pasaran dinamik sedemikian, kami percaya peng­urangan dalam kediaman tidak terjual dan pertumbuhan pelancaran dan transaksi projek baharu pada 2022 mencadangkan sentimen dan keadaan bertambah baik,” katanya.

Jelas beliau, antara trend positif yang diperhatikan pada 2022 ialah peningkatan dalam aktiviti, dengan volum yang lebih tinggi dan nilai urus niaga berbanding tahun sebelumnya.

“Pengurangan jumlah rumah tidak terjual adalah petanda yang kukuh dan positif apabila jatuh 24.7 peratus dalam volum dan 19.2 peratus dalam nilai kepada 27,746 unit bernilai RM18.41 bilion pada suku keempat 2022.

“Hartanah tidak terjual boleh memberi tekanan ke bawah pada harga hartanah dan aktiviti transaksi. Memandangkan pasaran menyerap bekalan tidak terjual ini, kita dapat mengimbangi penawaran dan permintaan dengan lebih baik.

“Ini menyokong pertumbuhan harga dan peningkatan pertumbuhan selanjutnya dalam aktiviti urus niaga,” ujarnya.

Menurut beliau, secara ringkasnya, pasaran hartanah kediaman menunjukkan tanda-tanda pertumbuhan, terutamanya dalam segmen hartanah kediaman dan komersial.

“Bagaimanapun, pembeli tetap berhati-hati dengan faktor seperti wabak yang berterusan, prestasi ekonomi dan dasar kerajaan yang boleh memberi impak kepada pasaran,” kata­nya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN