Harga MSM dijangka melemah hujung tahun

Harga MSM dijangka melemah hujung tahun

Malaysia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Agensi penarafan, Fitch Rating mengunjurkan harga semasa minyak sawit mentah (MSM) Malaysia berkemungkinan melemah di bawah AS$700 (RM3,088.55) satu tan menjelang akhir tahun berikutan peningkatan pengeluaran selepas permulaan baik dalam tempoh tiga bulan pertama.

Menurutnya, harga MSM bagi suku pertama 2023 diunjur berada sekitar AS$915.

Katanya, kesan kepada bekalan minyak biji bunga matahari akibat perang Russia-Ukraine merupakan risiko kenaikan harga utama terhadap jangkaan berkenaan.

“Harga minyak sawit dari penghujung 2022 disokong oleh jangkaan pasaran terhadap penggunaan biodiesel yang jauh lebih tinggi dan eksport yang lebih rendah dari Indonesia dan kesan hujan lebat pada permulaan tahun 2023 ke atas pengeluaran.

“Data pengeluaran terkini Malaysia dan Indonesia menunjukkan hasil minyak sawit berada pada aliran menaik di samping kekurangan pekerja asing di Malaysia juga sedang ditangani de­ngan pantas dan berkemungkinan dapat diselesaikan pada separuh pertama 2023,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun agensi penarafan itu berkata, pengeluaran minyak kacang soya bakal me­ningkat berdasarkan corak cuaca El Nino yang diramalkan mampu berkembang pada separuh ke­dua tahun ini.

Katanya, ia akan memberi tekanan kepada harga minyak sa­yuran global selain menjadi pengganti utama kepada MSM.

“Kita melihat sejarah lalu di mana El Nino telah dikaitkan dengan harga MSM yang lemah, dan harga turun kepada purata sekitar AS$535 satu tan pada 2018 hingga 2019,” katanya.

Fitch juga telah menaikkan andaian penanda aras jangka panjang harga MSM melangkaui 2024 kepada AS$650 satu tan, daripada AS$600 satu tan, de­ngan mengambil kira inflasi kos upah yang ketara bagi industri bagi 2022 hingga 2023. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×