Haily dapat projek kediaman RM32.7 juta

Haily dapat projek kediaman RM32.7 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Haily Group Berhad (Haily) memperoleh kontrak pembinaan RM32.66 juta daripada Nice Frontier Sdn. Bhd. (Nice Frontier) , ahli kepada IOI Properties Group Berhad.

Ia melibatkan pembinaan 186 unit kediaman untuk perbandaran Bandar Putra di sekitar Iskandar Malaysia, Kulai, Johor.

Menurut Haily, kontrak yang merupakan kontrak ketiga disandang oleh Kumpulan tahun ini, menjadikan jumlah nilai kontra projek semasanya keapda RM657.87 juta.

Katanya, anak syarikat penuh Haily, Haily Construction Sdn. Bhd., telah menerima Surat Anugerah pada 10 Mac lalu daripada JYP Architects Sdn. Bhd., arkitek yang dilantik oleh Nice Frontier untuk pembinaan 186 unit rumah teres satu tingkat dan 1 unit sub-stesen Tenaga Nasional Berhad.

“Kediaman yang masing-masing berukuran 24’ x 75’ itu akan ditempatkan di Bandar Putra, Mukim Senai, Daerah Kulai di negeri Johor. Kontrak itu akan bermula pada 27 Mac 2023 dan dijadualkan siap dalam tempoh 15 bulan menjelang 26 Jun 2024,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas kejayaan itu, Pengasas dan Pengarah Eksekutif Haily, See Tin Hai berkata, ia menandakan kepercayaan mereka terhadap perkhidmatan dan kualiti kerja syarikat itu.

“Dalam tempoh kurang daripada tiga bulan dalam tahun ini, kami telah memperoleh jumlah kontrak bernilai RM148.79 juta. Dengan hanya beberapa kontrak ini, kami dengan sukacitanya mengumumkan bahawa kami telah berjaya mengatasi nilai kontrak yang diperolehi sepanjang tahun lepas,” katanya.

Kata beliau, ia meletakkan syarikat di landasan yang betul untuk mencapai tahun kewangan yang lebih kukuh pada 2023.

“Haily sedang giat berusaha ke arah mendapatkan lebih banyak projek bernilai tinggi tahun ini,” tambahnya.

Pada awal November 2021, Haily telah memperoleh projek perumahan komuniti bernilai RM14.57 juta di Kulai daripada Nice Frontier. Kontrak itu melibatkan pembinaan dan penyiapan 216 rumah bandar strata berukuran 20’ x 60’ setiap satu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN