PETALING JAYA: Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) melancarkan program Future Malaysia, inisiatif di bawah mandat Dana Impak, bertujuan menyokong ekosistem pemua (start-up) tempatan merangkumi usahawan, syarikat pemula, modal teroka dan program usaha niaga korporat.
Proram Future Malaysia menyasarkan pelaburan awal kira-kira RM180 juta melalui kerjasama dengan pengurus modal teroka tempatan dan antarabangsa terkemuka serta program usaha sama korporat yang berpusat di Malaysia.
Dana Impak adalah komitmen RM6 bilion untuk tempoh lima tahun dan tonggak utama di bawah strategi Khazanah untuk memajukan Malaysia.
Menurut Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir, inisiatif program Future Malaysia menandakan pencapaian penting bagi Dana Impak dalam meningkatkan daya saing ekonomi Malaysia dan dalam membina daya tahan negara, sambil menyampaikan manfaat dan impak sosioekonomi kepada Rakyat.
Kata beliau, selaras dengan Belanjawan Malaysia MADANI 2023, Khazanah komited untuk memainkan peranan penting, bersama-sama dengan GLIC yang lain, dalam penyaluran dana modal kepada syarikat-syarikat pemula berpertumbuhan tinggi di Malaysia, bagi mendorong inovasi dan merangsang pertumbuhan ekonomi negara
“Kita bermula dengan ekosistem pemula, yang merupakan sumber utama bidang keusahawanan, pekerjaan, inovasi dan pelaburan untuk negara.
“Pelbagai potensi penyelesaian bagi menangani cabaran-cabaran yang dikenal pasti di bawah tema-tema Dana Impak telah ditemui dari kalangan syarikat peringkat awal, yang memerlukan suntikan modal berisiko pada peringkat yang berbeza sepanjang usaha sama, untuk memperkembangkan inovasi dan perniagaan.
“Program ini juga bertujuan untuk memacu kerjasama korporat strategik dalam ekosistem modal teroka Malaysia untuk memupuk perkongsian idea dan meningkatkan nilai perniagaan dengan cara yang lebih holistik,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Khazanah, melalui penumpuan terhadap dua tema Dana Impak iaitu Masyarakat Digital & Hab Teknologi dan Persaingan di Pasaran Global, program Future Malaysia dapat memantapkan usaha Khazanah dalam menemukan dan mengasah potensi para usahawan permulaan dan syarikat-syarikat pemula, melalui penyediaan sokongan strategik yang diperlukan untuk berkembang.
Selaras dengan usaha itu, Khazanah mengumumkan perkongsian dengan dana modal teroka – Gobi Partners, pengurus modal teroka pan-Asia, dan 500 Global, pengurus modal teroka antarabangsa.
“Kedua-duanya adalah antara pengurus modal teroka paling aktif dengan rekod prestasi pelaburan yang meluas dan kepakaran untuk penciptaan nilai di Malaysia.
“Jejak antarabangsa dan rangkaian mereka bertindak sebagai penghubung kepada kumpulan dana teroka serantau untuk melabur dalam syarikat Malaysia, dan bagi syarikat pemula Malaysia untuk berkembang di peringkat antarabangsa, dengan jangkaan untuk menjadi juara serantau,” katanya. – UTUSAN










