FDI, DDI dijangka tumbuh 20 peratus tahun ini

FDI, DDI dijangka tumbuh 20 peratus tahun ini

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasarkan pertumbuhan 20 peratus dalam pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI) pada tahun ini, naik dari RM163.3 bilion dan RM101.3 bilion yang dicatatkan pada 2022.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, walaupun berdepan persekitaran yang mencabar, syarikat yang ingin melabur ke negara ini boleh melihat potensi untuk jangka masa panjang.

Katanya, usaha yang lebih penting dilakukan untuk menarik pelabur adalah dengan meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan di negara ini, kumpulan bakat, infrastruktur sama ada fizikal dan digital serta tadbir urus.

“Apa yang penting ialah mengekalkan momentum dan memberi tumpuan kepada sektor dan industri yang betul.

“Hasil yang kita mahukan bukan sekadar kesan pengganda kepada produk domestik kasar kita, tetapi juga penciptaan pekerjaan berkualiti tinggi,” katanya pada Invest Malaysia di Hotel St Regis di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, Malaysia mempunyai kelebihan dalam industri elektrik dan elektronik (E&E) yang sudah bertapak di negara ini sejak lebih 50 tahun.

“Jadi syarikat -syarikat yang datang ke Malaysia seperti Intel dan Tesla baru-bari ini melihat bahawa jika mereka masuk ke negara ini, mereka mempunyai sokongan kerana pembekal dan bahan yang diperlukan ada di sini,” ujarnya.

Ketika ditanya mengenai kenderaan elektrik (EV) mampu milik, beliau berkata, pihaknya menjangkakan harga kenderaan EV akan turun kepada RM120,000.

“Insya-Allah akan ada pelancaran kenderaan EV yang mampu milik pada tahun ini.

“Apa yang penting adalah untuk kita terus memberi fokus kepada industri ini kerana limbahannya agak besar,” jelas beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN