YOKOHAMA: Nissan Motor Co. Ltd. akan merombak rangkaian kuasa untuk kenderaan elektrik (EV) dan hibrid dalam usaha menurunkan harga kenderaan hibrid sejajar dengan kereta berkuasa petrol menjelang 2026.
Pengeluar kereta Jepun itu berkata, ia akan menggunakan komponen yang sama merentas model untuk menjadikan rangkaian kuasa elektrik lebih kecil dan ringan, serta mengurangkan kos pembangunan dan pengeluaran sebanyak 30 peratus dalam tempoh tiga tahun berbanding 2019.
Naib Presiden Kanan Nissan, Toshihiro Hirai memberitahu pemberita, ia juga akan menggunakan bateri dengan bahan yang lebih murah daripada yang biasa digunakan seperti nikel dan kobalt.
“Bahan yang tidak menggunakan logam berharga semahal itu sedang dibangunkan, yang akan menjadi faktor utama dalam mengurangkan kos,” kata Hirai, lapor Reuters.
Usaha itu adalah antara pendekatan yang dilakukan oleh pembuat kereta untuk cuba menjadikan kenderaan tenaga baharu lebih mampu milik.
Ia termasuk mengurangkan kos rangkaian kuasa elektrik yang masih belum mencapai persamaan dengan yang digunakan dalam kenderaan berkuasa tradisional.
“Nissan akan menggunakan pendekatan yang diperkemas kepada rangkaian kuasa kepada saiz kenderaan yang berbeza, menjangkakan untuk melengkapkan kenderaan seperti “kei” mikro dan kereta bersaiz sederhana dari 2024 atau 2025,” kata Hirai lagi.
Menurut Nissan, saiz yang lebih kecil dan pengurangan berat akan meningkatkan prestasi kenderaan, seperti menjadikan pemanduan dalam salji atau di atas pasir lebih stabil.
Nissan menjadi antara pengeluar kenderaan elektrik pasaran besar pertama dengan model Leafnya lebih sedekad lalu.
Ia menyasarkan untuk memperkenalkan 27 model elektrik, termasuk 19 kenderaan semua elektrik, menjelang tahun fiskal 2030. – AGENSI










