Ekuinas lancar Dana Asas RM100 juta

Ekuinas lancar Dana Asas RM100 juta

RAFIZI Ramli (dua kiri), Raja Arshad Raja Uda (kiri), Syed Yasir Arafat Syed Abd Kadir (kanan) dan Pemilik Kaisar Farmasi, Nor Hazalina Ibrahim kanan) pada Majlis Pelancaran Dana Asas Ekuinas di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) menyasarkan enam syarikat bumiputera berskala sederhana bakal menerima manfaat melalui dana baharu miliknya, Dana Asas de­ngan komitmen modal sebanyak RM100 juta.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syed Yasir Arafat Syed Abd Kadir berkata, buat masa ini Ekuinas telah menamakan Eagle Cliffe (M) Sdn. Bhd., pemilik rantaian Kaisar Farmasi sebagai syarikat pertama yang bakal menerima pelaburan di bawah Dana Asas.

Menurut beliau, Ekuinas juga sudah mengenal pasti beberapa buah syarikat yang layak mene­rima modal pelaburan ber­kenaan dan bakal diumumkan apabila ia dimuktamadkan.

“Kita sudah mengenal pasti beberapa syarikat ada dua hingga tiga yang mana masih dalam perbincangan dan apabila kita sudah kenal pasti kita akan membuat penilaian dan pelaburan yang diperlukan.

“Ada macam-macam syarikat antaranya peruncitan dan teknologi dan bila sudah dikenal pasti kita akan buat pengumuman,” katanya pada sidang media Majlis Pelancaran Dana Asas di sini, semalam.

Pelancaran Dana Asas disempurnakan oleh Menteri Ekonomi Rafizi Ramli. Turut hadir, Pengerusi Ekuinas, Tan Sri Raja Arshad Raja Uda.

Mengulas lanjut, Syed Yasir berkata, setiap syarikat yang terpilih bakal menerima jumlah pelaburan sebanyak RM10 juta hingga RM30 juta sejajar dengan mandat Ekuinas untuk meningkatkan ekuiti dan penyertaan bumiputera dalam ekonomi.

“Ekuinas akan membantu syarikat-syarikat memanfaatkan peluang yang ada, berkembang dan bersaing sebagai syarikat terkemuka generasi akan datang.

“Memandangkan syarikat tum­­puan Dana Asas secara rela­tifnya lebih kecil, kami akan memegang setiap pelaburan selama lima hingga tujuh tahun dan syarikat yang bakal menjadi portfolio kami akan melihat transformasi yang agresif,” katanya.

Sementara itu, Rafizi menyifatkan pelancaran Dana Asas oleh Ekuinas dengan komitmen modal sebanyak RM100 juta tepat pada masanya dalam usaha pentadbiran kerajaan beralih kepada model pertumbuhan berlandaskan inovasi, bergantung kepada keupayaan dalam mengenal pasti syarikat pertumbuhan tinggi.

Katanya, syarikat bumiputera berskala sederhana yang bakal dipilih Ekuinas berpotensi berdaya maju dari segi komersial dan kecemerlangan operasi.

“Suntikan strategik dari segi modal, kepakaran, dan jaringan kepada syarikat-syarikat ini akan merangsang kejayaan mereka.

“Apabila lebih ramai usahawan Malaysia menempa nama di pasaran nasional, serantau dan global, lebih ramai rakyat Malaysia yang kreatif dan berani akan berusaha untuk mencipta sesuatu yang berdaya maju secara komersial dan bernilai sosial,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN